KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud, di luar Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pertemuan tertutup itu membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi serta bertukar pandangan mengenai beberapa isu geopolitik semasa yang menjadi kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin meneliti kemajuan kerjasama dalam lapan bidang di bawah mekanisme dua hala Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC).
Bidang-bidang berkenaan merangkumi politik, perdagangan dan pelaburan, keselamatan, pertahanan dan ketenteraan, pendidikan, hal ehwal agama, tenaga dan alam sekitar, serta sosiobudaya.
Kedua-dua menteri turut mengulangi komitmen teguh mereka untuk memastikan inisiatif utama di bawah SMCC itu bukan sahaja dilaksanakan secara berkesan, tetapi juga dipantau secara berkala bagi mencapai hasil yang diinginkan.
Menteri Luar kedua-dua negara turut bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini yang memberi kesan kepada rantau masing-masing termasuk isu Palestin serta perkara antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Sidang kemuncak peringkat tinggi itu, yang dianjurkan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, menghimpunkan pemimpin tertinggi kedua-dua blok serantau bagi memperdalam kerjasama strategik dalam bidang politik, ekonomi dan keselamatan.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC menjadi platform untuk menggalakkan dialog dan kerjasama antara rantau dalam menghadapi ketidaktentuan global dan landskap geopolitik yang kian berubah.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kelestarian”, serta turut menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial