Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Khairul Azwan Tamatkan Perkhidmatan Sebagai Pengerusi HDC

27/05/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) --  Khairul Azwan Harun menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Halal Development Corporation (HDC) Bhd berkuat kuasa 17 Mei 2025, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian berkenaan menerusi hantaran di laman X hari ini berkata Khairul Azwan memegang jawatan berkenaan mulai 18 Mei 2023.

“MITI merakamkan ucapan terima kasih kepada Khairul Azwan atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi HDC.

“MITI berharap agar tuan terus komited dan aktif dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara dalam pelbagai bidang pada masa hadapan,” menurut hantaran itu.

Khairul Azwan memiliki ijazah sarjana dalam pengurusan daripada Open University Malaysia dan pernah mengikuti kursus kepimpinan global di Harvard Kennedy School of Government, Amerika Syarikat.

Beliau masih menggalas peranan sebagai Pengerusi VSolar Group Bhd dan sebelum ini pernah menjadi pengerusi di mTouche Technology Bhd serta Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV).

Ad Banner

HDC adalah peneraju utama kepada pembangunan ekosistem dan infrastruktur halal yang bersepadu dan komprehensif bagi meletakkan Malaysia ke arah negara paling berdaya saing menerajui industri halal global.

Ditubuhkan pada 18 Sept 2006, ia merupakan penyelaras utama bagi menggalakkan penyertaan dan memudahkan pertumbuhan pemain industri dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan