KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Malaysia, Indonesia dan Thailand hari ini menandatangani Kerangka Kerjasama (FoC) dalam bidang Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di bawah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di sini.
Kerangka itu ditandatangani oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto, Menteri Ekonomi Malaysia Datuk Seri Rafizi Ramli dan Timbalan Menteri Kewangan Thailand Julapun Amornvivat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, lokasi rasmi sidang kemuncak itu.
FoC dalam bidang CIQ bertujuan memperkukuh kerjasama antara ketiga-tiga negara dengan mempromosikan prosedur yang lebih cekap dan mesra perniagaan dalam pelaksanaan peraturan, undang-undang dan prosedur berkaitan untuk melancarkan pergerakan barangan dan individu merentasi sempadan.
Ia juga bertujuan meningkatkan keselamatan dan jaminan rantaian bekalan subserantau dengan menubuhkan mekanisme kukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta daya saing perdagangan di bawah kerangka IMT-GT.
Pemeteraian kerangka ini diadakan menjelang Sidang Kemuncak IMT-GT ke-16 yang turut diadakan hari ini di lokasi yang sama.
IMT-GT merupakan program kerjasama ekonomi subserantau yang dilancarkan pada 1993 untuk merangsang pembangunan ekonomi di wilayah dan negeri yang terlibat dalam tiga negara berkenaan.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada peningkatan peluang perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pengukuhan hubungan infrastruktur dan pengaturan institusi, ke arah mencapai visi subserantau yang bersepadu, inovatif, inklusif dan lestari.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dianjurkan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau itu selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial