Anggota Polis Maut, Motosikal Terbabas Di Lebuhraya Utara Selatan

06/06/2025 09:47 PM

IPOH, 6 Jun (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat sarjan yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kedah maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 253.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata dalam kejadian 7.24 malam itu, mangsa Shamsul Ishak, 58, yang bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengalami kecederaan termasuk lebam dan calar pada bahagian rusuk kiri.

“Siasatan lanjut mendapati setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi pembahagi jalan hingga tercampak. Mangsa yang cedera parah telah dibawa dengan menaiki ambulans ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

“Kemudian pada 9.24 malam, mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital itu,” katanya.

Noor Hisam berkata mangsa didapati sedang bercuti dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Alor Setar, Kedah selepas berjumpa dengan rakan-rakannya di serata negeri.

Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan