NIBONG TEBAL, 27 Mei (Bernama) -- Sebanyak 500 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga B40 menerima sumbangan wang tunai RM100 sebulan bermula bulan ini menerusi Program Dermasiswa Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Farm Fresh Berhad.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kesemua pelajar dari 10 negeri di Semenanjung itu telah dikenal pasti sebagai penerima awal bagi program berkenaan sehingga Disember tahun ini.
“Mudah-mudahan sumbangan kepada 500 anak-anak ini akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan selain memberikan ruang dan motivasi kepada mereka untuk terus berjaya dalam kehidupan serta menamatkan pegajian sehingga ke tahap tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Dermasiswa STPM anjuran Farm Fresh Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah di sini hari ini.
Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada Farm Fresh di atas inisiatif berkenaan yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu bagi menyantuni keperluan semasa pelajar Tingkatan Enam.
Fadhlina berkata KPM berhasrat untuk melihat lebih banyak syarikat korporat tampil mendukung ekosistem dan memartabatkan pendidikan negara melalui program-program seumpamanya.
Beliau berkata KPM terus komited menjadikan Tingkatan Enam sebagai antara pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan penjenamaan semula merupakan usaha strategik yang dilaksanakan seiring aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 dalam memperkasa laluan pasca menengah yang inklusif dan berdaya saing.
Fadhlina berkata dalam memastikan kelangsungan dan kesaksamaan akses pendidikan, kerajaan turut memperluas Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid Tingkatan Enam mulai tahun ini dengan lebih 100,000 pelajar telah menerima manfaat dengan peruntukan keseluruhan RM15 juta.
Program Dermasiswa STPM adalah bantuan dana Farm Fresh dalam bentuk wang tunai kepada pelajar-pelajar B40 di 10 negeri di bawah perbekalan susu sekolah Farm Fresh yang akan berterusan sehingga 2029 dengan pengambilan baru akan dibuat setiap tahun.
Farm Fresh dilantik selaku pembekal susu sekolah di bawah Kontrak Program Susu Sekolah anjuran KPM yang dikelola oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian secara tender terbuka bagi 10 negeri meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain Program Dermasiswa STPM, syarikat itu juga merancang beberapa program CSR sebagai limpahan daripada kontrak perbekalan berkenaan termasuk Program Kelas Tuisyen Bijak Mengira, Pertandingan Susu Subsidi Kebangsaan, Multidimensi Plus, Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia dan Program School to Farm.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial