KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom menyarankan negeri itu mencontohi amalan terbaik di peringkat antarabangsa bagi menangani kesan perubahan iklim yang semakin ketara terhadap sektor pertanian negeri.
Beliau berkata meskipun kesan pemanasan global atau perubahan iklim tidak dapat dikawal sepenuhnya, Sarawak perlu memanfaatkan pengalaman negara seperti Brazil, China dan India yang telah berjaya menangani cabaran pertanian akibat perubahan iklim.
“Kita (Sarawak) perlu membina jaringan kerjasama antarabangsa dan meneladani kejayaan yang telah dicapai oleh negara-negara lain, terutamanya yang terletak di zon tropika dan khatulistiwa,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Dr Rundi berkata Sarawak telah mula merasai kesan perubahan iklim, terutamanya menerusi kejadian bencana alam seperti banjir yang menjejaskan golongan petani di negeri ini.
“Suka atau tidak, kita akan terkesan dengan perubahan iklim. Selain itu, penyakit lain seperti virus, serangan serangga perosak dan sebagainya yang juga memberi kesan (kepada sektor pertanian),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial