KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai pemudah cara utama dalam merapatkan hubungan ekonomi antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China melalui pelbagai pertemuan strategik sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025 yang berlangsung hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 komited memperkukuh diplomasi ekonomi serantau yang inklusif, berpandangan jauh, dan berteraskan kepentingan rakyat.
“Antara sorotan utama ialah pertemuan dua hala bersama delegasi China melalui Guangzhou Industrial Holdings Group (GIIHG) dan China Council for the Promotion of International Trade (CCPIT).
“Saya juga menyambut delegasi pelaburan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), serta delegasi dari Dewan Perniagaan dan Industri Qatar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata perbincangan tertumpu kepada sektor strategik seperti logistik, pembangunan halal, teknologi kecerdasan buatan (AI), automotif, dan tenaga hijau.
Ahmad Zahid turut mempengerusikan sesi libat urus antara delegasi kerajaan dan komuniti perniagaan dari Arab Saudi dan China yang memberi tumpuan kepada potensi peluasan pelaburan dua hala, dengan Malaysia berperanan sebagai hab pelaburan strategik bagi rantau ASEAN.
“Inisiatif ini memperkukuh lagi peranan Malaysia sebagai pemudah cara utama dalam menghubungkan ekonomi ASEAN, GCC, dan China secara lebih holistik dan bersasar.
“Keseluruhan sesi hari ini membuktikan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap ASEAN yang mempunyai lebih 680 juta penduduk dan KDNK gabungan melebihi AS$3.6 trilion, menjadikan rantau ini antara pasaran paling pesat berkembang dan strategik di dunia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata Malaysia bukan sahaja bertindak sebagai tuan rumah, malah sebagai pemimpin serantau yang menawarkan persekitaran pelaburan stabil, dasar kerajaan mesra pelabur serta visi ekonomi yang jelas dan mampan.
Beliau optimis hubungan erat yang terjalin melalui sidang berkenaan akan menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi bernilai tinggi serta peluasan rangkaian perdagangan serantau dan global.
“Saya yakin hasil kerjasama dan kesepakatan ini akan menyumbang secara langsung kepada masa depan ekonomi Malaysia yang lebih dinamik dan mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial