PORT DICKSON, 27 Mei ( Bernama) -- Individu atau organisasi berhasrat melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) termasuklah memastikan ternakan korban mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) yang sah.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata langkah berkenaan bagi memastikan haiwan ternakan terbabit sihat dan bebas daripada sebarang penyakit terutamanya penyakit zoonotik bagi menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat.
Beliau berkata semua pihak terlibat perlu memastikan sebarang pergerakan ternakan mempunyai permit Pemindahan Ternakan dan Permit Sembelih Luar (PSL) daripada JPVNS sekiranya melaksanakan penyembelihan di luar rumah sembelih yang dilesenkan.
"Sekiranya semua syarat dan peraturan dipatuhi, individu atau organisasi terlibat digalakkan berdaftar dalam sistem e-qurban yang dipantau oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Kerajaan negeri mahu pastikan aktiviti penyembelihan dapat dijalankan lebih teratur dengan mendapatkan khidmat penyembelih bertauliah," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Wanita dan Jelajah Pendidikan Luar Bandar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Jalaluddin berkata bekalan daging lembu dan haiwan korban daripada penternak tempatan di negeri ini pada tahun ini mencukupi.
"Di Negeri Sembilan tiada masalah bekalan lembu, setakat ini tiada aduan berkaitan harga lembu korban terlalu mahal dan meningkat berbanding tahun lepas. Harga julat seekor lembu tahun ini antara RM4,500 hingga RM6,500 seekor bergantung kepada saiz dan berat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial