Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

China Sedia Kukuhkan Jajaran Strategik Dengan ASEAN, GCC

27/05/2025 09:22 PM

Oleh Choi Wen Feei

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- China sudah bersedia untuk mengukuhkan penjajaran strategik dengan ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi meningkatkan potensi pembangunan dan ekonomi antara mereka.

Perdana Menteri China Li Qiang berkata dengan gabungan populasi dan agregat ekonomi kira-kira satu perempat daripada jumlah dunia, perkongsian China-ASEAN-GCC mempunyai potensi yang cukup baik dan mereka boleh membina model keterbukaan merentas wilayah. 

Beliau berkata ketiga-tiga pihak mesti kekal komited terhadap keterbukaan serantau, berusaha untuk menyepadukan pasaran ke dalam pasaran mega kongsi dengan sumber, teknologi dan bakat mengalir dengan lebih cekap, dan perdagangan serta pelaburan lebih bebas dan mudah.

"Dengan menghubungkan sepenuhnya tiga pasaran ini, kita boleh menjana potensi pembangunan yang lebih besar dan mencapai skala ekonomi yang lebih ketara," katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat pertama kalinya di sini hari ini.

Beliau juga berharap dengan rundingan peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (FTA) 3.0 kini selesai, semua pihak akan segera memuktamadkan rundingan FTA dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), untuk meningkatkan kerjasama perdagangan tiga hala.

Ad Banner

Li berkata melalui hubungan dan kerjasama yang lebih erat, ketiga-tiga pihak boleh mewujudkan integrasi organik sumber, pembuatan dan pasaran, menghasilkan kitaran ekonomi yang dinamik dan hab pertumbuhan.

“Ini sangat penting bukan sahaja untuk kemakmuran ekonomi di rantau kita sendiri tetapi juga untuk keamanan dan pembangunan di seluruh Asia dan dunia.

"Kita harus merebut peluang bersejarah ini, memperkayakan kandungan kerjasama tiga hala secara berterusan, dan berusaha untuk menjadikannya model kerjasama dan pembangunan global pada zaman kita," katanya. 

Li turut memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengambil inisiatif mengadakan sidang kemuncak tiga hala itu dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas usaha dan pengaturan yang bertimbang rasa.

Beliau berkata dalam konteks global semasa, yang menampilkan kegawatan geopolitik dan pertumbuhan ekonomi yang lembap, pewujudan sidang kemuncak sebagai platform untuk komunikasi dan kerjasama, adalah inovasi utama dalam kolaborasi ekonomi serantau.

“Ini bukan sahaja meneruskan legasi sejarah, tetapi juga menyahut seruan zaman,” katanya.

Menurut statistik, gabungan ekonomi ASEAN, GCC, dan China kini mencecah hampir USD25 trilion (USD1=RM4.21), dengan populasi lebih dua bilion orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan