Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemimpin ASEAN Seru Gencatan Senjata Di Myanmar Dilanjutkan Dan Diperluas

27/05/2025 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin ASEAN menggesa agar gencatan senjata di Myanmar dilanjutkan secara berterusan dan diperluas ke seluruh negara sebagai langkah awal ke arah penghentian keganasan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara Malaysia, gesaan itu bertujuan mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi penyampaian bantuan kemanusiaan serta memulakan dialog nasional yang terangkum, selaras dengan Konsensus Lima Perkara.

“Kami menggesa semua pihak agar segera menghentikan segala bentuk keganasan terhadap orang awam dan kemudahan awam.

Kami menggesa mereka mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan segera keganasan secara sembarangan, menolak sebarang bentuk peningkatan ketegangan, mengamalkan tahap kawalan diri yang paling tinggi, serta memastikan perlindungan dan keselamatan semua orang awam,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, para pemimpin turut menyatakan penghargaan terhadap pengisytiharan gencatan senjata sementara sebanyak tiga kali berturut-turut oleh pihak berkuasa di Myanmar serta gencatan senjata secara unilateral oleh pihak berkepentingan lain yang relevan.

Para pemimpin ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan konflik dan situasi kemanusiaan semakin meruncing di Myanmar, yang turut diburukkan lagi oleh kesan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda negara itu pada 28 Mac tahun ini.

Ad Banner

Mereka menggesa semua pihak terlibat agar memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan ASEAN dilakukan dengan selamat, tepat pada masanya, berkesan dan telus tanpa diskriminasi, berdasarkan Laporan Penilaian Keperluan Segera Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT) serta Penilaian Keperluan Bersama oleh Pusat Penyelaras bagi Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre).

Para pemimpin turut menekankan bahawa usaha ini harus dijalankan dengan sokongan berterusan pihak berkepentingan di Myanmar dan, jika perlu, melalui pendekatan rentas sempadan.

“Kami menggalakkan semua pihak berkepentingan di Myanmar untuk membina kepercayaan ke arah penganjuran dialog nasional yang terangkum  dengan terus berhubung secara berterusan dengan pihak terlibat, bagi mencapai penyelesaian damai yang berkekalan yang dimiliki dan diterajui oleh Myanmar sendiri,” menurut kenyataan itu.

Pemimpin ASEAN turut mengulangi sokongan terhadap usaha Pengerusi ASEAN, termasuk menerusi Utusan Khas, dalam pelaksanaan penuh dan berkesan Konsensus Lima Perkara (5PC).

Usaha ini bertujuan memulihkan keamanan, kestabilan dan demokrasi menerusi penyelesaian politik yang dimiliki dan dipimpin oleh Myanmar sendiri untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat negara itu.

Para pemimpin ASEAN turut merakam penghargaan terhadap sokongan berterusan masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terhadap ASEAN dalam melaksanakan 5PC, yang kekal penting dalam membantu rakyat Myanmar mencapai penyelesaian damai yang berkekalan menerusi dialog nasional yang terangkum.

Mereka turut komited untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN serta antara blok serantau itu dengan rakan luarnya, negara jiran Myanmar, dan PBB.

Langkah ini diambil bagi menyokong usaha ASEAN menangani krisis di Myanmar dan kesan lebih luas yang dibawanya, termasuk peningkatan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung pada 26 dan 27 Mei di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”. Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sempena sidang kemuncak itu, dua platform penting peringkat tinggi turut diadakan - Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama - yang menjadi landasan strategik bagi memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan