Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Usaha Pulihara Dugong Dilaksana Menyeluruh, Elak Kepupusan - DOF

28/05/2025 05:33 PM

PUTRAJAYA, 28 Mei (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) kini melaksanakan usaha pemuliharaan dugong secara menyeluruh merangkumi perlindungan habitat kritikal, pemantauan populasi serta kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat.

DOF dalam kenyataan sempena Hari Dugong Sedunia hari ini memaklumkan, agensi itu terus melaksanakan usaha bersepadu ke arah pemuliharaan spesies marin terancam seperti dugong (Dugong dugon), yang kini berhadapan risiko kepupusan. 

“Sebagai mamalia marin herbivor yang bergantung sepenuhnya kepada ekosistem rumput laut, kelangsungan hidup dugong mencerminkan tahap kesihatan persekitaran laut negara,” menurut kenyataan itu.

Dugong merupakan satu-satunya spesies yang masih wujud dalam famili Dugongidae dan dilindungi sepenuhnya di bawah perundangan Malaysia termasuk Seksyen 27 Akta Perikanan 1985, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) (Pindaan) 2019 serta undang-undang hidupan liar di Sabah dan Sarawak. 

Spesies itu disenaraikan dalam Lampiran I Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar (CITES), dan dikategorikan sebagai “Hampir Pupus” oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), menjadikan usaha konservasi sebagai satu keperluan mendesak.

DOF memaklumkan antara usaha pemuliharaan terkini yang dilaksanakan ialah cadangan pewartaan Santuari Dugong di Johor melibatkan kawasan seluas 150,000 hektar. 

Ad Banner

“Pewartaan ini dijangka memperkukuh perlindungan habitat kritikal serta menyokong penyelidikan dan pemantauan jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

DOF memaklumkan populasi dugong di Malaysia tertumpu di beberapa kawasan seperti perairan Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Besar di Johor, serta di Sabah dan Sarawak. 

“Habitat utama dugong adalah kawasan rumput laut cetek, yang turut menjadi ekosistem penting bagi pelbagai spesies marin lain seperti kuda laut, gamat dan ikan juvenil, namun kawasan ini semakin terancam akibat pembangunan pesisir, penambakan tanah, pencemaran dan aktiviti penangkapan ikan yang tidak lestari,” menurut kenyataan itu.

Menurut DOF, pihaknya dengan kerjasama Yayasan PETRONAS sedang melaksanakan pemetaan taburan rumput laut di seluruh negara termasuk penilaian stok karbon habitat berkenaan. 

“Rumput laut bukan sahaja penting sebagai sumber makanan utama dugong, tetapi juga memainkan peranan dalam mitigasi perubahan iklim melalui keupayaan penyerapan karbon,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan