KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak yang mula beroperasi secara rasmi tahun lalu telah memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan untuk memulakan pelaburan di peringkat global.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu merupakan detik penting dalam usaha mempelbagaikan portfolio pelaburan, sekali gus membuka ruang kepada peluang global yang mampu memaksimumkan pulangan jangka panjang untuk negeri dan rakyatnya.
“Pada masa sama, proses pemilihan Pengurus Dana Luar juga sedang berjalan lancar. Kumpulan pertama yang menumpukan kepada pelaburan pendapatan tetap kini berada di peringkat akhir pelantikan, manakala pengurusan kelas aset lain akan menyusul selepas ini.
“Fokus utama kita adalah terhadap pemeliharaan modal, sambil menyediakan asas pertumbuhan mampan untuk jangka panjang, bagi memastikan dana ini menjadi sumber kekal untuk generasi Sarawak yang akan datang,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Abang Johari juga merupakan Menteri kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak.
DUN Sarawak sebelum ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak secara sebulat suara pada 22 Nov 2022, dengan peruntukan awal sebanyak RM8 bilion disediakan oleh Kerajaan Negeri.
Menurut RUU itu, dana berkenaan akan diurus secara profesional dan telus oleh Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada pakar serta profesional dalam bidang kewangan dan pelaburan.
Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri menyasarkan semua 1,106 perkhidmatan kerajaan boleh dicapai sepenuhnya secara dalam talian menjelang 2030.
Katanya transformasi digital akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata setakat tahun lalu, sebanyak 55 peratus perkhidmatan kerajaan negeri telah berjaya didigitalisasikan.
“Dalam usaha kita menjadi wilayah berpendapatan tinggi dan maju, pendigitalan membolehkan kita menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cepat, mengurangkan kerenah birokrasi, membuat keputusan berdasarkan data serta memudahkan urusan perniagaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial