IPOH, 29 Mei (Bernama) -- Kemasukan pelancong, pelaburan asing dan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030 menjadi faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat di negeri berkenaan.
Profesor di Jabatan Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan Inggeris, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Raja Nor Safinas Raja Harun berkata terdapat beberapa inisiatif di bawah pelan yang memastikan rakyat pelbagai peringkat umur memperoleh kemahiran menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
“Pejabat Menteri Besar Perak, Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah melancarkan inisiatif buku rujukan tambahan di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS), termasuk subjek bahasa Inggeris dan buku tambahan rujukan berserta tuisyen untuk meningkatkan penguasaan.
“Selain itu Yayasan Perak juga ada mengadakan kursus-kursus bahasa Inggeris, contohnya Kursus Kemahiran Bahasa Inggeris Praktikal dalam Pekerjaan dan Komunikasi Perniagaan kepada orang awam serta kakitangan kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Raja Nor Safinas berkata kursus-kursus itu memberi penekanan dan mengajar peserta tentang kemahiran asas tatabahasa, cara komunikasi yang berkesan dan penggunaan bahasa Inggeris di tempat kerja, sekali gus membantu rakyat lebih yakin untuk berbahasa asing itu.
Selain itu, beliau berkata kemasukan pelancong antarabangsa ke Perak yang meningkat 11.9 peratus pada 2024 dan menerusi Tinjauan Tetamu Hotel 2024, sebanyak 970,611 pelancong asing berkunjung ke negeri itu pada tahun lepas berbanding 867,665 orang bagi tahun 2023.
“Apabila berlaku kemasukan ramai pelancong antarabangsa, rakyat di negeri ini pasti akan bertemu dengan mereka dan sudah tentu berlaku interaksi serta komunikasi yang memerlukan kefahaman tinggi supaya mesej dapat disampaikan dengan tepat.
“Selain itu, pelancong asing ini juga pasti melawat tempat-tempat makanan yang tular di Ipoh dan berkunjung ke Pulau Pangkor sebagai zon bebas cukai dan secara tidak langsung meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris sebagai alat komunikasi,” katanya.
Terdahulu, Perak dinobatkan sebagai juara ranking penguasaan bahasa Inggeris di Malaysia dengan skor 585 dalam Indeks Kemahiran Bahasa Inggeris EF 2024, mengatasi negeri-negeri lain.
Kedah menduduki tempat kedua dengan skor (584), diikuti Pulau Pinang (583), manakala Pahang dan Sarawak (580) dan Selangor (575), sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam penguasaan bahasa Inggeris di beberapa negeri yang mungkin di luar jangkaan ramai.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Yayasan Perak Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata antara faktor utama yang menyebabkan rakyat di negeri berkenaan lebih banyak berbahasa Inggeris boleh diukur dari segi pelaburan asing.
“Banyak syarikat asing yang datang ke Perak melihat negeri ini sebagai satu platform ataupun satu negeri yang sangat stabil untuk melabur dan galakan pegawai-pegawai negeri untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
“Jadi, itu antara faktor yang menyebabkan agensi-agensi negeri dan juga syarikat-syarikat negeri di Perak mempersiapkan tenaga kerja masing-masing untuk bercakap dalam bahasa Inggeris dengan baik,” katanya.
Nasreen Khanum berkata Yayasan Perak turut mewajibkan semua pegawai dan eksekutif untuk menghadiri kursus kemahiran bahasa Inggeris dan seterusnya menawarkan kepada agensi-agensi lain.
“Kalau ada syarikat antarabangsa datang ke Perak dan pegawai-pegawai negeri tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik, akan ada halangan dari segi komunikasi. Setakat ini bukan sahaja penglibatan daripada agensi tetapi sampai ke peringkat pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Manjung sehingga ke akar umbi sertai kursus ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial