Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin
KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang penuh ketegasan, terutama berkaitan darjah kebesaran bukan untuk dibeli atau dilobi, disifatkan penganalisis sebagai peringatan tepat pada masanya dalam usaha mengekalkan integriti dan kredibiliti sistem penganugerahan negara.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata hal ini kerana penganugerahan darjah kebesaran, terutamanya yang membawa gelaran Datuk dan Tan Sri bukan sekadar satu bentuk penghormatan, sebaliknya membawa bersama tanggungjawab moral dan sosial yang besar kepada masyarakat.
Beliau berkata kebelakangan ini memang terdapat trend melobi bagi mendapatkan gelaran itu, malah ada juga yang menyalahgunakan gelaran berkenaan untuk kepentingan tertentu.
“Sebab itu titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sangat bertepatan pada masanya. (Penganugerahan) datang bukan semata-mata sebagai satu anugerah, tetapi datang dengan rasa tanggungjawab yang perlu dipertahankan sebagai seorang warganegara.
“Malahan, jika kita lihat Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa penerima harus berasa bangga kerana mereka merupakan insan yang terpilih berdasarkan kepada perincian kriteria yang ditentukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sultan Ibrahim dalam titah diraja pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong semalam menegaskan bahawa penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan bukan untuk dibeli atau dilobi, sebaliknya hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta berjasa kepada kerajaan dan negara.
Yang di-Pertuan Agong bertitah walaupun kerajaan telah menggariskan syarat untuk dipertimbangkan, Seri Paduka Baginda tetap akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan.
Sivamurugan berkata dari sudut sosiobudaya, rakyat Malaysia secara tradisinya meletakkan nilai yang tinggi terhadap gelaran darjah kebesaran, namun apabila jumlah penerima meningkat secara mendadak, timbul persoalan mengenai kelayakan dan ketulenan anugerah yang dikurniakan.
“Dahulu, penerima sangat sedikit dan benar-benar dihormati, tetapi kini apabila terlalu ramai yang menerima, ada yang mula mempertikai kelayakan. Bahkan, ada kes penerima merupakan individu bermasalah,” katanya.
Menyentuh soal ketelusan, beliau berkata sistem sedia ada telah merangkumi pelbagai tapisan penilaian termasuk saringan latar belakang calon penerima oleh jawatankuasa khas serta semakan rekod oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Namun, sistem ini boleh diperhalus dan diperkemas. Saringan perlu dilakukan bukan sekadar pada rekod jenayah atau salah laku, tetapi juga menilai kelayakan moral dan sumbangan sebenar calon,” katanya.
Senada dengan Sivamurugan, pensyarah kanan Sains Politik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis yang berkata sistem penganugerahan negara harus kekal bersih daripada sebarang bentuk tekanan, lobi atau kepentingan peribadi.
“Saya bersetuju dan menyokong titah Seri Paduka Baginda. Ia peringatan penting tentang nilai dan integriti sistem anugerah negara kita.
“Anugerah seperti ini seharusnya diberikan kepada individu yang benar-benar telah memberikan sumbangan besar kepada masyarakat, negara dan pembangunan dalam pelbagai bidang sama ada dalam sektor awam, swasta, sosial mahupun sukarela,” katanya.
Beliau berkata darjah kebesaran mempunyai nilai simbolik yang sangat tinggi dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, yang mencerminkan penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan seseorang individu.
“Dalam masyarakat yang menjunjung adat dan hierarki, anugerah ini dilihat sebagai puncak pengiktirafan sosial dan status. Justeru, ia membawa makna yang besar bukan sekadar lambang, tetapi juga pengesahan pencapaian,” katanya.
Mujibu berkata garis panduan awam yang telus dan mudah difahami akan membantu mengurangkan salah faham serta persepsi negatif masyarakat terhadap sistem penganugerahan negara.
Garis panduan itu menurutnya, akan menambah kredibiliti sistem sedia ada dan ia juga boleh menjadi motivasi kepada rakyat untuk terus menyumbang kepada negara dengan mengetahui bahawa sumbangan mereka boleh diiktiraf secara adil dan terbuka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial