KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 menerima tajaan dan sumbangan daripada 79 rakan strategik, sekali gus mencerminkan kepercayaan yang semakin meningkat terhadap penganjuran acara terbesar dalam industri kewartawanan negara.
Sekretariat HAWANA 2025 dalam kenyataan memaklumkan jumlah penaja edisi kali ini, mencatat peningkatan ketara berbanding 44 rakan strategik tahun lepas, melibatkan pelbagai bentuk sumbangan barangan dan perkhidmatan.
“Tahun ini menyaksikan sebanyak 79 rakan strategik telah menyatakan komitmen dan sokongan setakat ini, dengan memberikan penajaan serta sumbangan,” menurut kenyataan itu.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerima replika cek tajaan daripada rakan strategik tersebut pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2025 di Wisma Bernama di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 dan pengurusan tertinggi agensi berita itu.
-- LAGI
HAWANA-RAKAN STRATEGIK 2 KUALA LUMPUR
Pada majlis itu, Fahmi turut memperkenalkan logo dan mengumumkan tema sambutan HAWANA 2025 iaitu “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”.
Sambutan HAWANA 2025 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 13 hingga 15 Jun, dengan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun.
Lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media negara anggota ASEAN dijemput ke majlis kemuncak, sekali gus menghimpunkan golongan media profesional dan pakar industri untuk bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.
HAWANA 2025 merupakan anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana, akan melibatkan pelbagai acara termasuk forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun, serta karnival dan pameran HAWANA di pusat beli-belah Sunway Putra Mall di sini selama dua hari bermula 13 Jun.
Turut diadakan ialah sukan media dengan elemen tradisional dan siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak serta Johor.
-- LAGI
HAWANA-RAKAN STRATEGIK 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.
Pada majlis hari ini, Fahmi turut merasmikan MOTORHOME-BERNAMA Mobile Studio, menjadikan Bernama antara agensi media di Malaysia yang memiliki studio siaran bergerak lengkap untuk pelaporan berita di lapangan.
Kenderaan canggih dengan kapasiti maksimum enam penumpang itu turut dilengkapi studio mini dan ruang kerja wartawan bukan sahaja menjadi unit berita bergerak, tetapi juga berpotensi sebagai studio rakaman audio siar mudah alih yang boleh digunakan secara dinamik.
“Pendekatan BERNAMA Mobile studio akan memastikan media tetap relevan dalam konteks globalisasi dengan bidang penyiaran serta kewartawanan, yang turut mengintegrasikan teknologi lain seperti media digital dan kecerdasan buatan (AI),” menurut kenyataan itu.
Berikut senarai rakan strategik HAWANA 2025:
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial