Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PLKN 3.0: Pelatih Rasai Pengalaman Menembak Guna Senjata Sebenar

04/06/2025 05:25 PM

KUANTAN, 4 Jun (Bernama) -- Seramai 123 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 berpeluang menjalani latihan menembak di Lapang Sasar Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 1 di Tanjung Gelang di sini hari ini.  

Pengarah Bahagian Operasi Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Kolonel Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mazlizan Shaikh Osman berkata jumlah itu sebahagian daripada 257 pelatih lelaki yang menyertai program selama 45 hari di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah Pekan. 

"Kita mengadakan dua sesi latihan menembak, iaitu pada hari ini yang disertai oleh kumpulan Alpha dan Bravo dan esok bagi kumpulan Charlie serta Delta.

"Latihan ini sebahagian daripada 70 peratus elemen ketenteraan yang diterapkan dalam PLKN, selain itu kita turut memberikan mereka latihan pandu arah, kelangsungan hidup dan merentas halangan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mazlizan berkata pelatih PLKN wanita yang ditempatkan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di ibu negara juga akan menjalani latihan menembak dan modul asas ketenteraan sama dalam usaha membentuk disiplin, keyakinan serta jati diri. 

"Kita mengadakan latihan seperti ini kerana berdasarkan kajian lepas, ramai pelatih yang mahukan latihan di luar dan jika di tempat lain mereka tiada peluang untuk menggunakan senjata sebenar.

"Semasa latihan, senjata yang digunakan ialah senapang M16 bersama peluru hidup, para pelatih dilatih untuk menembak pada jarak 25 meter dan 100 meter dalam keadaan meniarap, duduk, dan berdiri," katanya.

Beliau berkata sebelum berlatih di lapang sasar, pihaknya terlebih dahulu memberikan penerangan  berkaitan senjata, perkara yang dibenarkan serta dilarang semasa mengendalikan senjata bagi memastikan keselamatan pelatih.   

Bagi Aiman Khawarizmi Kamaruddin, 20, dari Kota Bharu, berasa amat seronok dengan latihan menembak itu kerana ia memberi pengetahuan dan pengalaman baharu buat dirinya.

"Pengalaman menembak ini amat berharga kepada saya dan rakan-rakan serta memberikan pendedahan kepada kami tentang ilmu penggunaan senjata sebenar," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan