BANGI, 5 Jun (Bernama) -- Akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Beliau berkata KUSKOP mengambil pendekatan memperkenalkan satu akta baharu bagi memastikan gerakan koperasi dapat bergerak sebagai entiti perniagaan dengan lebih baik sekali gus menjadi pemacu kepada ekonomi negara.
“Jadi dimaklumkan bahawa kita membatalkan akta sedia ada dan kita tampil dengan satu akta baharu. Insya-Allah, pada Disember ini kita akan bentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen.
“Sesi Parlimen 2026, sekitar Mac atau April, kita jangka bacaan kedua akan dibuat dan sasarannya ialah akta baharu ini dapat dikuatkuasakan sekitar Julai tahun hadapan,” katanya semasa berucap merasmikan Forum Pemerkasaan Koperasi ANGKASA-MINDA UKM di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata KUSKOP sedang dalam proses menggubal akta koperasi baharu dan kertas Jemaah Menteri mengenai perkara itu telah dibentangkan serta dipersetujui secara prinsip pada 8 Jan lepas.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata KUSKOP ketika ini giat mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri serta pihak berkepentingan bagi memastikan penggubalan akta berkenaan dapat dilaksana dengan baik demi kepentingan gerakan koperasi.
Beliau berkata akta baharu itu dijangka mewujudkan koperasi yang lebih responsif dan dinamik, memudahkan urusan perniagaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat selain memperkukuh aspek tadbir urus koperasi.
“Inti pati utama akta baharu ini ialah kita akan meliberalisasikan gerakan koperasi, dengan mengurangkan pemantauan berlebihan yang sebelum ini terlalu menekankan aspek perundangan.
“Sebaliknya, kita beri lebih ruang kepada koperasi untuk beroperasi sebagai entiti perniagaan yang kompetitif,” katanya.
Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata ANGKASA menyokong hasrat kerajaan untuk memperbaiki ekosistem koperasi di negara ini.
“Kita ingin menjadikan koperasi sebagai budaya dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang 2050. ANGKASA (juga) menyokong penuh usaha kerajaan meliberalisasikan undang-undang dan peraturan yang sedang dibuat serta memperbaiki ekosistem (koperasi),” katanya.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor dan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial