Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

CILTM Sabah Gesa Penubuhan Kementerian Pengangkutan Negeri

11/06/2025 01:17 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 11 Jun (Bernama) -- Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILTM) Bahagian Sabah menggesa kementerian pengangkutan ditubuhkan di Sabah, dan menekankan bahawa sektor logistik serta pengangkutan mustahak dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman sosial.

Bercakap dalam seminar bertajuk ‘Transport Planning for a Better Tomorrow’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Selasa, Pengerusi CILTM Sabah Daniel Doughty berkata walaupun infrastruktur logistik dan pengangkutan negeri penting untuk kehidupan harian dan ekonomi, ia masih berdepan masalah dalam aspek ketidaksepadanan, pelaburan tidak mencukupi, serta perancangan jangka pendek.

Memetik kajian Bank Dunia, beliau berkata kos pengangkutan di Sabah ialah 30 hingga 50 peratus lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia, dengan kadar penggunaan pengangkutan awam di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu hanya 15 peratus berbanding 45 peratus di Kuala Lumpur.

Doughty berkata sebagai contoh, Fasa 1A Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah mencapai 82 peratus siap, tetapi Fasa 1B hanya pada tahap 3.7 peratus, manakala Fasa Dua dan Tiga masih jauh daripada tahap memuaskan.

"Angka itu bukan sekadar statistik tetapi mencerminkan jurang dalam perancangan dan penyelarasan," katanya.

"Perancangan di Sabah lazimnya sering bersifat reaktif. Sering kali apabila jalan raya sesak, pengguna mengadu, penghantaran barang tergendala atau gangguan rantaian bekalan, barulah kita mula membentuk jawatankuasa dan tergesa-gesa bertindak," katanya dalam teks pembentangan yang dikongsikan bersama Bernama hari ini.

Sehubungan dengan itu, Doughty menggesa supaya pendekatan perancangan lebih proaktif dan berasaskan data diperkenalkan, melibatkan semua pihak berkepentingan dan memberi keutamaan kepada pembangunan jangka panjang.

Mengulas mengenai usaha yang dilaksanakan sebelum ini, beliau berkata pada webinar yang diadakan Mac 2023, CILTM Sabah melalui setiausaha tetapnya mencadangkan penubuhan Majlis Logistik Sabah (SLC) kepada Kementerian Kerja Raya Sabah. 

“Majlis berkenaan telah ditubuhkan pada Jun 2024 dan sejak itu berjaya menghimpunkan pemain industri daripada sektor pelabuhan, pihak berkuasa tempatan, pengendali kargo, akademia, dan agensi kerajaan bagi menangani cabaran kritikal dalam sektor logistik dan pengangkutan.

“Walaupun terdapat kemajuan, namun masih banyak perlu dilakukan … jiran kita Sarawak, telah menubuhkan kementerian pengangkutannya sendiri. Kenapa ini penting?. Ini kerana logistik dan pengangkutan terlalu mustahak untuk sekadar menjadi portfolio sampingan,” katanya.

Doughty berkata jika kementerian pengangkutan Sabah diwujudkan, ia membolehkan pembiayaan disalurkan, integrasi merentas sektor, serta akauntabiliti pada peringkat kementerian.

“Kementerian ini juga boleh menerajui penyediaan Pelan Induk Logistik dan Pengangkutan Sabah yang merangkumi keutamaan jangka pendek, sederhana, dan panjang, pembangunan logistik luar bandar, menangani isu penyahkarbonan dan mobiliti pintar, serta hala tuju koridor pengangkutan untuk jangka masa 50 tahun.

Perancangan yang menitikberatkan daya tahan perlu menjadi komponen utama, berikutan wujudnya ancaman banjir, tanah runtuh, dan gangguan rantaian bekalan.

Beliau turut menyentuh mengenai potensi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), dan teknologi blok rantai dalam mentransformasi sektor berkenaan.

“Infrastruktur mungkin dibina dengan konkrit dan besi, tetapi sistem pengangkutan digerakkan oleh kerjasama dan iltizam politik,” kata Doughty sambil meminta perancangan dilakukan secara lebih berkesan, menyokong reformasi tadbir urus, dan terus terlibat sebagai pihak berkepentingan.

“Marilah kita mengubah landskap pengangkutan Sabah bukan melalui rungutan sebaliknya tindakan yang bersepadu dan berterusan. Marilah bersama-sama kita membina Sabah yang lebih baik, teguh, dan bergerak pantas,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan