Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bekas Wartawan Hiburan Terlantar Sakit, Terima Sokongan Komuniti Seni

13/06/2025 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Bekas wartawan hiburan akhbar Utusan Malaysia Rosli Manah, 58, yang terlantar sakit akibat komplikasi penyakit diabetes serta jangkitan kuman pada otak, menyebabkan beliau sukar bertutur dan memerlukan rawatan lanjut.

Rosli, yang lebih dikenali dalam kalangan rakan media dan artis sebagai ‘Che Li’ ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kajang selama dua hari sebelum dipindahkan ke Zon Merah hospital berkenaan. 

Isterinya Asma Ghani, 51, berkata Rosli menghidap diabetes sejak tujuh tahun lepas dan keadaannya menjadi kritikal selepas tidak mengambil ubat seperti yang dijadualkan sehingga mengakibatkan jangkitan pada otak.

“Selepas jangkitan itu, dia sukar bercakap. Bila saya tanya baru dia akan jawab tetapi dia masih kenal rakan-rakan yang datang melawat,” katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Kajang hari ini.

Beliau berkata dua pembedahan telah dilakukan untuk mengambil sampel cecair tulang belakang, namun jangkitan masih belum hilang dan berkemungkinan pembedahan ketiga akan dijalankan jika keadaan tidak bertambah baik.

“Saya tidak bekerja dan sejak dia sakit, kami hanya bergantung pada anak-anak untuk sara hidup. Kami ada tiga orang anak iaitu Dean Ilham, 29; Aasif Esfan, 28, dan Daniel Ashman, 20,” katanya.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez bersama Timbalan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) Niezam Abdullah serta artis veteran Rozita Rohaizad hari ini menziarahi Rosli dan menghulurkan sumbangan perubatan.

“Rosli bukan ahli Karyawan tetapi beliau banyak menyokong usaha kami dalam memartabatkan industri seni dan kreatif tempatan. Walaupun tidak lagi aktif sebagai wartawan, sumbangan beliau dari segi penulisan sangat besar,” kata Freddie.

Beliau berkata wartawan hiburan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan artis kepada masyarakat dan sering dianggap rakan strategik kepada persatuan seni.

“Ramai penggiat seni mencapai kemuncak kerjaya kerana diberi liputan oleh wartawan seperti Rosli. Sebab itu kami juga berusaha membantu golongan wartawan hiburan yang berdepan masalah kesihatan melalui kutipan dana hasil majlis atau penjualan meja makan malam,” katanya.

Sementara itu, Niezam menyifatkan Rosli sebagai individu yang berdedikasi dan banyak membantu menaikkan nama artis baharu serta memberi liputan meluas terhadap aktiviti seni tanah air.

“Dia antara wartawan yang bertanggungjawab menjadikan ruangan seperti Kacak Bergaya di Mingguan Malaysia dan majalah URTV serta Mangga sebagai platform promosi utama artis suatu ketika dahulu. Banyak artis mendapat manfaat daripada hasil kerjanya,” katanya.

Rosli memulakan kerjayanya di Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada 1993 dan berkhidmat lebih 25 tahun sebagai wartawan serta editor hiburan, termasuk mengetuai portal Mangga Online.

Selepas Utusan menamatkan operasi pada 2019, beliau melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual nasi demi menyara keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan