Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPDN Tambah Baik Ekosistem Pengurusan Royalti Karyawan Muzik - Armizan

27/07/2025 04:51 PM

KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhasrat menambah baik ekosistem pengurusan royalti di negara ini bagi memastikan rezeki daripada karya bakat terus dinikmati oleh karyawan muzik. 

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata antaranya melalui  Agensi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk memperkenalkan Garis Panduan (GP) Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) di bawah seksyen 27M Akta Hak Cipta 1987.

Beliau berkata langkah itu termasuk peringkat advokasi dan pematuhan semua pihak berkepentingan serta ketelusan tadbir urus kutipan dan pembayaran.

“Matlamat saya supaya hak semua pihak dilindungi dan dipelihara termasuk artis dan karyawan.

“Ramai yang akhirnya hidup dalam keadaan susah dan kerajaan tidak boleh dilihat tidak melakukan sesuatu dalam mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas dan menyeluruh,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook hari ini.

Armizan berkata MyIPO diberi kuasa untuk mengeluarkan GP berhubung perisytiharan dan pengendalian kepada mana-mana pihak yang didaftarkan sebagai CMO yang diberi mandat oleh pemunya hak cipta untuk menguruskan hak royalti.

“Namun, ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan sedang melakukan semakan kehakiman  di mahkamah, serta KPDN, MyIPO dan Menteri KPDN sendiri telah dinamakan sebagai sebagai responden. 

“Menjadi tanggungjawab saya yang memimpin KPDN hari ini untuk memastikan harta dan rezeki itu terus dinikmati oleh karyawan muzik bukan sahaja sepanjang karier mereka, tetapi selama karya berkenaan dimanfaatkan oleh pengguna,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan