Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

UMT Nasihat Orang Ramai Tidak Jadikan Tongkang Tersadai Tempat Rekreasi

16/06/2025 06:25 PM

KUALA NERUS, 16 Jun (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan tongkang tersadai di kawasan Pantai Seberang Takir di sini sebagai tempat rekreasi air.

Pro Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata aktiviti itu boleh mendatangkan bahaya berikutan keadaan laut yang berubah secara tiba-tiba.

Beliau yang juga pakar dalam bidang oseanografi berkata angin kuat dan arus kencang menyebabkan terjadinya gelombang besar yang boleh mengancam nyawa.

“Saya lihat tular di media sosial video yang menunjukkan orang ramai memanjat tongkang dan terjun sambil mandi-manda beberapa hari ini.

“Tongkang itu sudah lama tersadai… Difahamkan sedang dalam proses untuk dipindahkan kerana tidak dapat digunakan lagi. Yang membimbangkan ialah ada yang menjadikannya seolah-olah kawasan rekreasi air tanpa memikirkan bahaya yang menanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa supaya mengambil langkah segera dengan membuat pemantauan atau pencegahan bagi menjaga keselamatan pengunjung di kawasan berkenaan.

“Di pantai biasa pun kita akan letak bendera sebagai petunjuk sama ada kawasan itu selamat atau tidak untuk mandi. Apatah lagi dalam keadaan begini, perlu ambil tindakan cepat untuk elak kejadian tidak diingini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan