MERSING, 22 Jun (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang individu yang cuba merampas kunci motosikal dinaiki dua lelaki dipercayai pelajar sekolah di lampu isyarat berhampiran Sekolah Kebangsaan Bandar Endau, di sini Jumaat lepas, merupakan anggota polis yang sedang bertugas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing DSP Mohd Hasrudi Mohd Zain berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika anggota ronda cegah jenayah dari Balai Polis Endau itu sedang menjalankan tugas.
“Anggota polis bermotosikal telah memberikan amaran dengan memperkenalkan diri sebagai polis dan cuba mencabut kunci motosikal terbabit kerana kenderaan itu mempunyai nombor pendaftaran serta ekzos yang diubah suai serta berbunyi bising, namun pelajar berkenaan menepis tangan anggota dan terus memecut laju.
"Tindakan anggota itu tertakluk kepada Seksyen 58 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 24(1)(b) Akta Polis 1967," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada masa sama, Mohd Hasrudi turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
Sebelum ini, video berdurasi 13 saat memaparkan tindakan seorang penunggang motosikal yang memakai baju berwarna hitam cuba menarik kunci motosikal dinaiki dua pelajar sekolah tular, namun mereka sempat mengelak dan melarikan diri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial