Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kejayaan Raih Anugerah Emas Di Prague, Bukti Anak Desa Mampu Takluk Pentas Dunia - Ahmad Zahid

22/06/2025 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kejayaan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak yang meraih Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech membuktikan anak-anak desa berpotensi besar mengukir nama di persada antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan MAWO dalam kategori middle class itu diharap menjadi inspirasi kepada anak-anak muda, khususnya di luar bandar bahawa tiada batas untuk bermimpi dan tiada sempadan untuk berjaya.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan akan terus menyalurkan sokongan berterusan bagi menyemai minat dan mengangkat potensi besar anak-anak muda dalam bidang seni dan budaya, sama ada melalui motivasi, penyediaan peralatan mahupun bantuan dana.

“Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan dalam bidang muzik, tetapi juga simbol semangat dan potensi luar biasa anak-anak desa yang mampu menakluk pentas dunia. Kejayaan ini bukan hanya milik MRSM dan Felda, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia.

“Syabas keluarga besar MRSM, Felda dan MARESMAF - anda benar-benar telah ‘Mendonia!” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Malaysia yang merupakan satu-satunya wakil dari Asia dalam pertandingan itu bukan sahaja berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara Eropah, malah MAWO turut menerima markah tertinggi daripada barisan juri profesional antarabangsa.

“Saya sendiri berpeluang menyantuni mereka dan memberikan sokongan secara langsung pada malam Konsert “Desaku Mendunia” yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, RTM Angkasapuri pada 28 Mei lepas.

“Ketika itu, saya sendiri menyaksikan dan merasai kehebatan luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak muda ini - penuh bakat, disiplin dan semangat luar biasa sebelum mereka berangkat ke pertandingan berprestij di Prague,” katanya.

Festival yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun itu menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lower classmiddle class dan higher class, berdasarkan tahap kesukaran karya muzik serta keupayaan teknikal peserta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan