KOTA BHARU, 22 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas empat pengamal perubatan tradisional selepas mendapati mereka bersalah memukul seorang pensyarah hingga buta mata kiri, empat tahun lepas.
Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Mohd Shamsul Izwan Midin, 37, yang dikenali sebagai 'Wae Selamos', Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 37, dikenali sebagai Tok Singa dan Idrees Ishak, 46, serta Mohd Eric Mohd Ramli, 39, pada akhir kes perbicaraan.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat lelaki itu didapati dengan sengaja mendatangkan cedera parah iaitu kehilangan penglihatan mata kiri kekal ke atas mangsa, Ahmad Shahrill 'Ariff Zainol, 43, pada pukul 4 pagi di sebuah rumah inap di Jalan Sultan Yahya Petra di sini pada 5 Ogos 2021.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Sekyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Hakim membenarkan permohonan peguam Mohd Azrul Hasyimi yang mewakili keempat-empat tertuduh bagi menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial