Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Isu Lalat Dan Bau Busuk: Kilang Ternakan Ayam Di Jasin Diarah Tutup Serta-merta

22/06/2025 04:05 PM

JASIN, 22 Jun (Bernama) -- Sebuah kilang ternakan ayam di Simpang Bekoh di sini diarah tutup serta-merta susulan aduan berterusan berkaitan masalah pencemaran bau dan lalat yang menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata tindakan tegas itu berikutan aduan diterima pihaknya selain kegagalan syarikat terbabit menyelesaikan masalah berkenaan biarpun dikompaun secara berturutan sebelum ini.

“Penarikan lesen operasi ini di bawah kuasa Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka dan premis itu hanya akan dibenarkan kembali beroperasi selepas memenuhi lima tuntutan ditetapkan.

“Ini termasuk aspek kebersihan dan kepuasan hati penduduk setempat. Selagi pihak syarikat tidak mengambil langkah pembetulan serta mematuhi syarat ditetapkan, kilang itu tidak akan dibenarkan beroperasi,” katanya kepada pemberita di Taman Kesang Damai di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata penutupan kilang sejak 18 Jun lepas itu membabitkan reban utama yang menempatkan antara 70,000 hingga 80,000 ekor ayam.

Beliau berkata pihaknya mendapati masalah utama adalah aspek pengurusan yang lemah kerana daripada 16 reban yang ada, hanya 12 pekerja ditugaskan, menyebabkan pengurusan najis tidak cekap dan mencetuskan pencemaran bau serta pembiakan lalat.

“Tindakan ini bukan untuk menyusahkan pengusaha, sebaliknya demi kesejahteraan penduduk sekitar dan memastikan semua syarikat yang terlibat dalam sektor penternakan negeri mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Program WRUR membuktikan komitmen kerajaan negeri menyantuni dan menyelesaikan permasalahan rakyat secara menyeluruh bagi memperkukuh tadbir urus berteraskan keperluan rakyat dan memastikan tiada komuniti tercicir daripada perhatian kerajaan negeri.

“Sehingga kini, empat DUN telah selesai melaksanakan program WRUR dan kini, program memasuki DUN kelima dengan kita akan berkampung selama dua minggu di sini melibatkan penyertaan penuh jentera kerajaan negeri termasuk jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan.

“Program ini membuka ruang kepada rakyat, khususnya di peringkat akar umbi iaitu penduduk setempat untuk menyuarakan masalah mereka secara terus, sekali gus memudahkan tindakan penyelesaian diambil dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan