MELAKA, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan Melaka menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas kelulusan projek loji Waste-To-Energy (WTE) di Sungai Udang bernilai RM660 juta yang dijangka siap selewat-lewatnya pada tahun 2029.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata majlis pecah tanah projek itu dijangka diadakan dalam masa terdekat dan bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Projek berimpak tinggi yang dimeterai pada 19 Jun lalu dan disaksikan sendiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming, dilihat mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal serta memperkukuh agenda hijau negeri.
“Alhamdulillah, atas komitmen dan sokongan kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Melaka. Perjanjian WTE ini merupakan satu langkah besar dalam usaha pengurusan lestari sisa pepejal negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dan disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Rais berkata walaupun pembinaan projek itu mengalami sedikit kelewatan sebelum ini, semua urusan pentadbiran kini telah diselesaikan dan projek berada pada fasa pelaksanaan untuk memulakan pembinaan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Nga menyatakan loji WTE Sungai Udang dijangka mampu memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal sehari, menjana 22 megawatt (MW) tenaga elektrik, dan mengurangkan lebih 259,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun, iaitu bersamaan dengan impak penanaman lebih empat juta pokok.
Loji tersebut juga akan dilengkapi dengan sistem rawatan air larut resap berkapasiti 96 meter padu yang akan dibina di atas tanah seluas 3.96 hektar di tapak pelupusan Sungai Udang sedia ada.
Dari segi pelaksanaan, Nga berkata pembinaan loji akan bermula tahun depan dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan selepas memenuhi pelbagai syarat awal yang ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial