KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mencadangkan supaya perlembagaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dipinda bagi mengehadkan pencalonan jawatan presiden kepada tiga calon sahaja.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) itu yang menawarkan diri bagi jawatan presiden FAM berkata penambahbaikan struktur termasuk syarat pencalonan adalah perlu bagi memberikan nafas baharu kepada badan induk bola sepak negara itu.
"Mengenai FAM, kita tunggu laporan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia). Tapi pandangan saya perubahan itu perlu, termasuklah perlembagaan. Contohnya isu proses pencalonan jawatan presiden, daripada perlu enam pencalonan kepada tiga sahaja.
“Saya lebih suka tiga pencalonan (presiden) kerana kita hanya mempunyai 18 ahli gabungan. Sekarang ini, bukan soal siapa mahu bertanding, tetapi siapa yang benar-benar sanggup memikul tanggungjawab untuk melakukan perubahan… ia bukan tugas mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kem Fasa 1 Temasya Sukan Para ASEAN 2027 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan di sini, hari ini.
Menurut statut FAM, calon presiden mesti mendapat sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada keseluruhan 18 ahli gabungan untuk layak bertanding.
Pada masa sama, beliau meminta ahli gabungan yang mempunyai hak mengundi untuk berfikir secara kritikal demi masa depan sukan nombor satu negara itu.
"Kita kena berani buat pembaharuan. Imej bola sepak kita memberi kesan kepada penjenamaan sukan Malaysia secara keseluruhan di peringkat global. Kita tak nak imej Malaysia dikaitkan dengan penipuan, scam, atau tidak dipercayai," katanya.
Setakat ini, Megat D Shahriman muncul satu-satunya individu yang menyatakan minat menerajui FAM.
Jawatan ‘panas’ itu juga dikaitkan dengan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan, selain Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes dan tokoh korporat Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.
Pada Januari lepas, kesemua Ahli Jawatankuasa FAM bagi penggal 2025-2029 meletak jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah berprinsip dan berhemah susulan krisis yang melanda badan induk itu.
Krisis dalaman FAM bermula pada September tahun lepas selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel - didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial