Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

UMT Mohon Kerajaan Terengganu Kawal Aktiviti Pelancongan Di Kawasan Taman Laut

22/06/2025 05:29 PM

KUALA NERUS, 22 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berharap kerajaan negeri akan meningkatkan kawalan terhadap aktiviti pelancongan di kawasan taman laut bagi mengelak lebih banyak kes kematian penyu.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata pemanduan bot laju yang tidak terkawal dan kehadiran pelancong tanpa had di sesebuah lokasi boleh memberi tekanan kepada ekosistem marin.

Beliau berkata perkara itu bukan sahaja mengancam spesies terancam seperti penyu yang berlegar di kawasan cetek untuk bernafas dan mencari makanan, malah menjejaskan kesihatan terumbu karang.

“Lebih membimbangkan penyu-penyu di kawasan taman laut diketahui sangat jinak dan tidak menghiraukan kehadiran manusia dan bot.

“Ini meningkatkan lagi risiko pelanggaran apabila bot bergerak dengan kelajuan tinggi di kawasan perayauan penyu. Berdasarkan maklumat tidak rasmi daripada komuniti setempat, dianggarkan dua penyu mati setiap bulan di sekitar kawasan Pulau Redang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Uzair berkata pihak berkuasa perlu mengambil beberapa langkah seperti aktiviti penguatkuasaan lebih tegas, memperkasa kerjasama rentas agensi dan komuniti serta meningkatkan tahap kecekapan pemandu bot, termasuk pengetahuan mengenai zon larangan, kelajuan dan habitat sensitif hidupan marin.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata bedah siasat seekor penyu betina yang ditemukan mati di Teluk Dalam, Pulau Redang pada Jumaat lepas mendapati punca kematian haiwan itu disebabkan kecederaan parah pada paru-paru, dipercayai akibat hentakan kuat pada bahagian cangkerang.

“Pemerhatian juga mendapati berlaku pendarahan dalaman dan keradangan organ pernafasan yang menyebabkan penyu berusia 10 tahun itu lemas.

“Insiden ini menimbulkan kebimbangan serius pihak UMT terhadap perkembangan sektor pelancongan yang pesat di kawasan taman laut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan