KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Tokoh pendidikan dan pengasas Sri Murugan Centre (SMC) Tan Sri Dr M. Thambirajah meninggal dunia hari ini pada usia 83 tahun.
Pengarah bersama SMC Surain Kanda ketika dihubungi Bernama berkata orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir di SMC Ashramam, Petaling Jaya, dari 10 pagi hingga 2 petang esok sebelum upacara persemadian di Nirwana Setia Alam pada 3 petang.
“Tan Sri bukan sekadar seorang pemimpin; beliau seorang yang berwawasan … . Usaha beliau telah mengubah kehidupan ribuan orang,” katanya.
Dilahirkan pada 1942, Thambirajah menubuhkan SMC pada 1982 dengan matlamat untuk memperkasakan pelajar India.
Pernah berkhidmat sebagai pensyarah kanan di UM dan menulis beberapa buku termasuk buku teks sejarah bertajuk Malaysia Dalam Sejarah.
Beliau dikurniakan gelaran Tan Sri pada 2012 dan merupakan penerima “Pravasi Bharatiya Samman”, iaitu anugerah tertinggi bagi warga India di luar negara.
Thambirajah juga pernah berkhidmat dalam badan penasihat utama negara termasuk Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas bagi Masyarakat India dan Majlis Sosial di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Mendiang meninggalkan isteri Puan Sri Indirani Arunasalam, dua cahaya mata Dr Sumitra Thambirajah dan Anannd Thambirajah, serta dua cucu.
Ucapan takziah dan penghormatan dalam bentuk kalungan bunga boleh dihantar ke SMC Ashramam, No. 40, Jalan Bukit 11/2, Petaling Jaya, Selangor.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S.K. Devamany merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Thambirajah, dan menyifatkan beliau sebagai seorang mentor serta tokoh berwawasan yang telah mengubah landskap pendidikan masyarakat India Malaysia.
Devamany yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Kesusasteraan Melayu dari Universiti Malaya berkata Thambirajah mengajar beliau subjek sejarah semasa melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda pada 1982.
“Saya amat berdukacita, selamat jalan kepada mentor dan guru saya Tan Sri Dr. M. Thambirajah, kepintaran, keberanian dan pendiriannya yang teguh terhadap pendidikan bukan sahaja mengubah kehidupan saya, malah nasib ribuan pelajar India di Malaysia,”katanya.
Devamany yang juga bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands dan antara pengasas SMC berkata langkah kecil yang bermula pada 1982 itu akhirnya berkembang menjadi satu gerakan pendidikan yang merentasi seluruh negara.
Mengimbau tarikh 24 Sept 1982, beliau berkata Thambirajah menghimpunkan 48 pelajar di Dewan Kuliah E, Universiti Malaya, dan meminta mereka membantu pelajar India lain membuat persediaan untuk peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), yang ketika itu tidak banyak pelajar mengambil peperiksaan ini.
Di bawah bimbingan Thambirajah, kumpulan itu menyediakan nota ulang kaji dan akhirnya SMC dilancarkan secara rasmi, dengan empat cawangan, iaitu di Sentul, Klang, Petaling Jaya, dan Seremban.
Sementara itu, bekas Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk A. Vaithilingam berkata beliau sungguh terkejut dengan berita pemergian Thambirajah.
“Saya mengenali beliau sejak zaman mula mengajar, khususnya ketika beliau sering hadir ke program Pertubuhan Belia Hindu saya. Sepanjang saya berkhidmat di MHS dan beliau di SMC serta MIC, hubungan kami sentiasa rapat.
“Saya selalu jumpa beliau di Sekolah Vivekananda pada zaman awal SMC, ketika kehadiran guru dan pelajar masih tidak menentu. Ketika itulah kami mula berbincang tentang keperluan memberi elaun kepada guru, mengutip yuran daripada pelajar, dan melaksanakan kod pakaian yang sesuai.”
"Saya sering berjumpa beliau di Sekolah Vivekananda, ketika kehadiran guru dan pelajar masih tidak menentu. Di situlah kami mula berbincang tentang pentingnya elaun untuk guru, kutipan yuran pelajar, dan pelaksanaan kod etika pakaian yang sesuai.
“Pembaharuan pentadbiran itu mencetus perubahan besar yang amat diperlukan dalam sistem, dan hari ini, SMC megah berdiri sebagai institusi pendidikan kebangsaan ikonik dan tersohor. Beliau (Thambirajah) sememangnya seorang tokoh luar biasa bagi kami,” kata Vaithilingam.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan bekas pelajar SMC Datuk Jana Santhiran Muniayan turut berdukacita dan menyifatkan Thambirajah tokoh ulung yang legasinya akan terus terpahat dalam sanubari semua yang pernah mengenalinya.
“Dedikasinya yang tidak berbelah bahagi kepada masyarakat, pendidikan, dan perkhidmatan awam telah meninggalkan impak yang berkekalan kepada negara kita.
“Tan Sri bukan sekadar tunjang kekuatan dan kebijaksanaan, malah menjadi pencetus inspirasi kepada generasi demi generasi. Keluhuran budi, integriti dan komitmennya untuk mengangkat martabat orang lain tidak mungkin dilupakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial