Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kuala Lumpur Tuan Rumah Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025

23/06/2025 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 29 Sept hingga 3 Okt tahun ini.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan memaklumkan forum anjuran Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) itu bertemakan Shaping Social Security for a World in Transition dan akan menghimpunkan lebih 1,500 delegasi daripada 164 negara.

“WSSF 2025 bakal menjadi platform strategik untuk meneroka idea futuristik dan inovasi dalam memperkasa sistem keselamatan sosial yang lebih relevan, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global masa kini,” menurut kenyataan itu.

Forum itu akan membincangkan pelbagai isu berkaitan perubahan demografi global, dinamik pasaran buruh, kemajuan teknologi serta agenda kelestarian yang mempengaruhi masa depan sistem keselamatan sosial di peringkat antarabangsa.

Menurut Perkeso, forum berkenaan dijangka disertai pemimpin negara, menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil organisasi antarabangsa dalam kalangan 336 organisasi anggota ISSA.

“Antara pengisian utama termasuk lebih 80 sesi interaktif seperti plenari, bengkel panel, sesi tutorial dan zon inovasi ISSA, menjadikan forum itu satu pengalaman holistik dalam pertukaran ilmu dan kerjasama rentas negara,” menurut kenyataan itu.

Perkeso turut memaklumkan buat julung kalinya Festival dan Anugerah Video Keselamatan Sosial Antarabangsa akan diperkenalkan bagi mengetengahkan komitmen terhadap promosi keselamatan sosial, selain Anugerah Pencapaian Cemerlang ISSA yang akan diberikan kepada negara dengan pencapaian luar biasa dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial.

Penganjuran WSSF 2025 dikendalikan bersama ISSA dengan kerjasama Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, serta disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia.

Maklumat lanjut berkenaan forum boleh didapati di laman sesawang rasmi: www.issa.int/wssf2025

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan