GUA MUSANG, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan memperuntukkan RM478,250 bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk disalurkan kepada 974 penerima Orang Asli di daerah berkenaan dengan bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan.
Timbalan Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu Roslina Bun berkata jumlah itu meliputi bayaran STR bagi penerima fasa pertama sehingga keempat tahun ini.
“Bermula semalam sehingga hari ini, penunaian STR telah dilakukan kepada masyarakat Orang Asli dari Pos Gob, Pos Simpor, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Tohoi, Pos Balar, Pos Brooke, Pos Hau, Pos Blau, Pos Hendrop dan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis.
“JAKOA mendapat kerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara dalam mengesan penerima yang belum menerima bayaran, seterusnya membuat penyerahan tunai di kaunter yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penunaian Bayaran STR di Dewan Bonda Yah, RPS Kuala Betis hari ini.
Roslina berkata masyarakat Orang Asli yang tidak mempunyai akaun atau akaun tidak aktif layak dibayar secara tunai, dan setakat ini jumlah bayaran tertinggi mencecah sehingga RM2,200 bagi satu keluarga yang mempunyai ramai tanggungan.
“Program sepatutnya diadakan bagi penunaian STR fasa ketiga dan keempat turut dihadiri penerima bagi fasa pertama dan kedua yang tercicir.
“Kita juga menyediakan kaunter untuk mengaktifkan dan mendaftar akaun bank bagi membolehkan wang sumbangan dikreditkan terus ke dalam akaun masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial