Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Tunggu NTP Bagi Mulakan Pembinaan Fizikal LRT - Chow

01/07/2025 04:13 PM

GEORGE TOWN, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang masih menunggu notis rasmi memulakan kerja (NTP) daripada Kementerian Pengangkutan dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi pembinaan fizikal Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dimulakan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata notis itu penting untuk membolehkan SRS Consortium Sdn Bhd (SRS), selaku Kontraktor Utama Kerja Awam bagi Pakej 1 projek berkenaan, memulakan kerja pembinaan mengikut pelan dan jadual yang telah dirancang.

"Beberapa kerja awal telah dilaksanakan di tapak projek antaranya kajian tanah, pengambilan tanah dan rundingan pampasan dengan pemilik-pemilik terlibat, namun notis rasmi itu penting untuk membolehkan kerja fizikal pembinaan secara penuh.

"Buat masa ini, kami masih menunggu notis mula kerja daripada Kementerian Pengangkutan dan MRT Corp,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pengangkutan Pulau Pinang 2025 di Komtar hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah menjalankan tanggungjawab apabila menyerahkan sepenuhnya peranan berkaitan projek LRT kepada MRT Corp dan melepaskan peranan SRS Konsortium sebagai pihak yang pernah memohon pelaksanaan LRT sebelum ini.

"Hubungan kerajaan negeri dengan SRS kini adalah dalam konteks Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang lain, tetapi bagi projek LRT ia telah diambil alih oleh MRT Corp. Sekarang ini tanggungjawab utama terletak pada pihak (kerajaan) persekutuan untuk mengeluarkan notis tersebut,'’ katanya.

Mengulas lanjut, Chow berkata kontraktor perlu memastikan ruang jalan yang diambil diganti semula dengan pelebaran jalan di bahagian bahu atau kawasan tepi dengan mengekalkan jumlah lorong sedia ada bagi mengelakkan berlaku kesesakan jalan raya seperti pembinaan projek LRT di Kuala Lumpur.

Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk mengenakan sebarang caj kesesakan kerana keutamaan sekarang adalah memastikan kelancaran pelaksanaan projek dan pengurusan trafik sepanjang tempoh pembinaan.

Pada 10 Jun lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan semua isu yang berbangkit antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan berkaitan projek LRT Laluan Mutiara telah pun selesai.

LRT Laluan Mutiara sepanjang 29.5 kilometer itu merangkumi 21 stesen strategik dan pelan jajaran utamanya merangkumi laluan dari Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di sini, dengan perkhidmatan tren dijadualkan bergerak secara bergilir di sepanjang laluan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan