Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Tidak Terlibat Pemilihan Syarikat Untuk Pakej 2 LRT Laluan Mutiara - Chow

24/04/2026 06:16 PM

GEORGE TOWN, 24 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak terlibat dalam pemilihan syarikat yang akan melaksanakan kontrak Pakej 2 Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara kerana ia di bawah tanggungjawab Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri hanya berperanan sebagai pemegang taruh penting dalam projek tersebut dan terlibat dalam Jawatankuasa Procurement One Stop Centre.

"Apabila MRT Corp sudah membuat penilaian dan akan membuat rekomendasi (mengesyorkan) kepada One Stop Procurement Centre ini, jadi saya boleh katakan belum sampai untuk buat tawaran lagi.

Ad Banner

“Saya percaya mereka masih menilai tender yang mereka terima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Automasi, Ujian dan Peralatan (ATE) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan portal yang mendakwa berlaku kelewatan dalam proses tawaran Pakej 2 bagi projek LRT Laluan Mutiara susulan campur tangan dan lobi politik.

Dalam pada itu, Chow turut menolak dakwaan bahawa projek berkenaan mengalami kelewatan memandangkan pelaksanaan projek masih berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan tanpa sebarang gangguan.

Ad Banner

LRT Laluan Mutiara yang memulakan pembinaan pada 2025 dan dijangka beroperasi pada Disember 2031 akan merentasi laluan sejauh 29.67 kilometer (km) dengan 20 stesen serta dua stesen sementara.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah berhubung dengan pihak berkuasa di Kedah bagi menyelaras langkah segera susulan paras air Sungai Muda yang kini berada pada paras bahaya.

Beliau berkata pelepasan air dari Empangan Beris, Kedah turut dicadangkan sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi penyusutan paras Sungai Muda.

"Dalam masa sama, Pulau Pinang akan meneruskan pengeluaran air dari Empangan Mengkuang untuk menampung keperluan semasa dan bagi memastikan bekalan air tidak terjejas,” katanya.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata negeri itu berharap usaha pembenihan awan dapat dilaksanakan di kawasan hulu di Kedah sebagai langkah segera meningkatkan paras air Sungai Muda bagi memastikan sumber air mentah terus mencukupi. 

Paras air di Sungai Muda dilaporkan mencecah tahap bahaya iaitu pada 1.27 meter di muka sauk Lahar Tiang pada 4.30 petang semalam, jauh lebih rendah berbanding paras selamat dua meter.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan