Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penyertaan JKKN Di Ekspo 2025 Osaka Ketengah Tradisi Malaysia, Medium Diplomasi Budaya

03/07/2025 10:44 AM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Penyertaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Ekspo 2025 Osaka dimanfaatkan sebagai platform untuk mengetengahkan budaya Malaysia menerusi persembahan seni tarian tradisional yang memukau pengunjung antarabangsa.

Menurut kenyataan JKKN, penyertaan itu bukan sekadar persembahan seni, malah menjadi wadah diplomasi budaya yang menghubungkan Malaysia dengan masyarakat global, sambil menyokong usaha promosi Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Persembahan seperti Joget Lambak, Magunatip (tarian buluh), dan koreografi khas lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2026 telah mencetuskan fenomena tersendiri pada ekspo berkenaan.

"Terdapat pengunjung yang hadir setiap hari untuk mempelajari gerakan tarian yang dipersembahkan, manakala dalam segmen interaktif, semua penonton memberi respons dengan menari bersama-sama. Ini membuktikan bahawa seni Malaysia mampu melangkaui batas bahasa dan budaya," menurut kenyataan itu.

Wakil rasmi JKKN Rayner Mailap dalam kenyataan sama berkata kejayaan itu dicapai hasil perancangan teliti, termasuk dari segi pemilihan penari dan koreografi yang menghiasi pentas Pavilion Malaysia di ekspo berkenaan bagi memastikan penonton benar-benar menghayati budaya Malaysia.

Beliau berkata aspek keterampilan, disiplin, kebolehan serta keupayaan melaksanakan pelbagai tugas menjadi antara kriteria utama pemilihan penari bagi menjayakan tugasan di Ekspo 2025 Osaka itu yang berlangsung selama enam bulan bermula 13 April lepas hingga 13 Oktober. 

“Kami menitikberatkan gerak gaya asal, kekemasan busana, sentuhan estetika, penyampaian yang jelas dan juga interaksi baik dengan penonton, serta keyakinan diri dan kemampuan mengatasi halangan yang mungkin timbul semasa persembahan,” kata Rayner.

Penari Nur Syahierah Mat Sapauwi berkata elemen visual, terutamanya busana tradisional yang dikenakan juga menjadi aspek yang memukau penonton dan antara paling mencuri perhatian ialah pakaian dari suku kaum Murut.

“Pakaian ini diperbuat daripada kulit kayu dan dihiasi dengan bulu burung kuang raya serta manik halus yang melambangkan keindahan dan keperwiraan. Busana ini menjadi simbol kebanggaan yang beridentitikan budaya Borneo dan sering mendapat pujian daripada pengunjung,” katanya.

Bagi Mohammad Fazly Izwan Abd Rahman pula, Joget Lambak menjadi pilihan mereka untuk diajar kepada pengunjung memandangkan ia menyeronokkan dan mudah dikuasai.

“Tarian ini (Joget Lambak) bukan sahaja seronok, tapi ia juga menjadi medium hiburan rakyat Malaysia ketika momen bersama seperti perayaan kerana sering ditarikan secara beramai-ramai dalam suasana penuh keriangan,” katanya.

Menurut JKKN, Ekspo 2025 Osaka bukan hanya menjadi pentas ekspresi budaya, malah menjadi ruang untuk membina memori yang tidak akan dilupakan oleh ribuan pengunjung dari seluruh dunia.

“Melalui setiap lenggok, senyuman dan tepukan, mereka menyulam pemahaman, rasa hormat, dan kekaguman terhadap Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan