PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima sebanyak 335 kes yang diserahkan oleh agensi penguatkuasaan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah itu sebahagian daripada 2,811 kes keseluruhan yang direkodkan sejak 2021, hasil kerjasama strategik antara KPDN dan beberapa agensi penguatkuasaan.
“Semua serahan kes ini melibatkan pelbagai kerangka perundangan termasuk penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan bersubsidi.
“Serahan kes ini dibuat menerusi tangkapan oleh semua agensi terlibat dan diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut. Selain itu, kita juga melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Rakan Strategik sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN di sini hari ini.
Armizan berkata antara agensi yang mencatatkan jumlah serahan kes tertinggi ialah Pasukan Gerakan Am (1,146 kes), diikuti Pasukan Polis Marin (866 kes), Polis Diraja Malaysia (661 kes) dan Angkatan Tentera Malaysia (69 kes).
Beliau berkata peningkatan konsisten dalam jumlah serahan kes itu mencerminkan kejayaan usaha bersepadu antara KPDN dan agensi penguatkuasaan sekali gus memperkukuh pelaksanaan operasi yang lebih tersusun dan berfokus.
“Kita harap kerjasama yang sedia ada ini dapat terus diperkukuh bagi memperkasakan fungsi KPDN, khususnya dalam menangani isu penyelewengan barang kawalan, barangan bersubsidi serta aktiviti penyeludupan ke luar negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial