Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

HABIB Serlahkan Keanggunan Permata Melalui GEMFEST 2025

04/07/2025 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- HABIB, jenama barang kemas tempatan terkemuka, melancarkan GEMFEST 2025: Reflections, sebuah perayaan yang meraikan keunikan diri, kilauan gemilang dan hubungan jiwa melalui pesona abadi batu permata dan berlian. Acara ini berlangsung dari 4 hingga 27 Julai di semua bilik pameran HABIB di seluruh negara.

Dalam satu kenyataan, HABIB memaklumkan bahawa koleksi yang dipamerkan menampilkan hasil pertukangan halus dan batu permata istimewa seperti tanzanite, aquamarine dan spinel merah jambu, yang menyerlahkan dimensi dan kilauan tersendiri.

“Lebih daripada sekadar barang kemas yang indah, setiap rekaan melambangkan lapisan kehidupan, berani namun lembut, bersahaja tetapi bersinar. Misi kami adalah untuk meningkatkan penghargaan terhadap keindahan dan keunikan batu permata semula jadi,” menurut kenyataan itu.

Antara sorotan utama GEMFEST ialah koleksi barang kemas mewah yang diinspirasikan daripada geometri berani era Art Deco, termasuk satu rekaan utama yang menampilkan batu tanzanite berbentuk oktagon di tengah, dipadankan bersama tourmaline.

Set lengkap koleksi ini turut merangkumi gelang tangan dan cincin padanan yang dihiasi tanzanite dan tsavorite, diserikan dengan berlian potongan marquise, menyerlahkan lagi keanggunan dan sentuhan sofistikated rekaannya.

Menurut HABIB, satu lagi item utama dalam koleksi kali ini ialah rantai berlian unik yang menampilkan batu aquamarine berukir dan tanzanite potongan triliun. Reka bentuk simetrinya memberikan sentuhan moden, manakala dua batu aquamarine yang diukir indah dan diletakkan secara seimbang menambah unsur keunikan dan imaginatif pada rekaan tersebut.

“Pengenalan kerongsang dengan reka bentuk kontemporari ini pula membawa sentuhan ceria melalui gabungan warna yang menyerlah dan material mewah. Batu tourmaline merah jambu dan hijau yang terang disusun secara teliti dalam emas putih dan emas ros, menggabungkan seni moden dengan keanggunan yang berani,” menurut kenyataan itu.

Koleksi Diamond Stackables, yang direka untuk digayakan secara bertindan dan menzahirkan ekspresi diri, menampilkan rekaan minimalis, kemas dan sangat versatil. Setiap item boleh digayakan dalam lapisan dua atau tiga, dan ditawarkan dalam kemasan berkilat tinggi atau bertatahkan berlian sepenuhnya. Koleksi ini turut menjadi antara tarikan utama GEMFEST 2025.

Bagi peminat gaya mewah klasik dengan sentuhan moden, koleksi gelang tangan pula menampilkan gabungan harmoni antara kemewahan dan rekaan kontemporari. Diperbuat daripada emas ros, gelang ini dihiasi dengan bentuk sfera bertatahkan berlian pavé, manakala beberapa rekaan lain dikilatkan seperti cermin dan dihiasi sebutir berlian sebagai penegasan gaya eksklusif.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib, berkata syarikatnya memberi perhatian yang teliti dalam setiap proses pembuatan barang kemas — daripada menjelajah ke seluruh dunia bagi mendapatkan batu permata terbaik, hinggalah memastikan pereka mereka mendapat inspirasi dari pelbagai budaya global bagi menghasilkan rekaan yang benar-benar mencerminkan semangat tersebut.

“Misi kami adalah untuk meningkatkan penghargaan terhadap keindahan dan keunikan batu permata semula jadi,” kata Meer yang juga merupakan pakar gemologi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan