Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sasaran Kurangkan 20 Peratus Sampah Dari Sungai Klang Realistik – Datuk Bandar

05/07/2025 06:10 PM

KLANG, 5 Julai (Bernama) -- Sasaran pemaju induk projek Gerbang Maritim Selangor (SMG), Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) untuk mengurangkan 20 peratus sampah dari Sungai Klang ke tapak pelupusan disifatkan sebagai realistik dan berada pada landasan yang tepat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Datuk Abd Hamid Hussain berkata sasaran itu bertepatan dengan keberkesanan penggunaan kemudahan pengasingan sisa (Waste Sorting Facility) di Sungai Pinang sejak Disember tahun lalu, yang setakat ini berjaya mengasingkan empat tan metrik sampah plastik yang boleh dikitar semula.

“Susulan itu, MBDK akan memperkukuh usaha ini menerusi program pendidikan dan kesedaran di peringkat akar umbi, termasuk di sekolah, untuk menyebarkan pengetahuan berkaitan kepentingan amalan kitar semula,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Derma Darah anjuran bersama 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Speedmart) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Dewan MBDK Bandar Bukit Raja, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Abd Hamid berkata pelbagai program berkaitan kitar semula telah dirancang pihaknya bagi memupuk amalan pengurusan sisa isi rumah yang lebih sistematik, sekali gus mengurangkan lambakan sampah boleh kitar semula di tapak pelupusan.

Menurutnya, inisiatif tersebut secara tidak langsung mampu mengurangkan kos logistik MBDK untuk mengangkut sisa pepejal ke tapak pelupusan, dan lebihan peruntukan dapat dimanfaatkan untuk tujuan lain yang lebih memerlukan.

“MBDK mengalu-alukan kerjasama daripada pihak swasta atau agensi kerajaan untuk bersama-sama menyemarakkan lagi kempen kitar semula dan pengurangan penggunaan beg plastik, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) demi keselesaan bersama,” katanya.

Sebelum ini, LLSB dilaporkan menyasarkan pengurangan sebanyak 20 peratus jumlah sampah dari Sungai Klang, khususnya plastik, ke tapak pelupusan menerusi penggunaan teknologi pengasingan sisa.

Pengarah Urusan LLSB Syaiful Azmen Nordin, pada 2 Julai lepas dilaporkan berkata bahawa kemudahan Waste Sorting Facility yang mula beroperasi Disember tahun lepas menunjukkan data awal yang memberangsangkan dan berpotensi mengurangkan pembuangan sisa plastik ke tapak pelupusan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan