KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melancarkan kempen derma darah dan kesedaran kesihatan dengan menyasarkan penyertaan lebih 5,000 penderma di 40 lokasi seluruh negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Kempen yang dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell, di Medan MARA di sini hari ini, berlangsung bermula 1 Ogos hingga 30 Sept dan dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Perunding Insurans Hayat dan Takaful Keluarga Malaysia (NAMLIFA) serta Pusat Darah Negara (PDN).
“Derma darah merupakan satu tindakan murni yang mampu menyelamatkan nyawa dan memainkan peranan penting dalam rawatan, pembedahan dan kecemasan,” kata O’Dell sambil meminta rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang ke arah kejayaan usaha itu.
Beliau berkata kempen itu turut mencerminkan komitmen lebih luas industri insurans hayat terhadap kesihatan awam, penjagaan pencegahan dan daya tahan kewangan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, LIAM menganjurkan saringan kesihatan percuma pada hari dan esok di Medan Mara, dengan sokongan enam rakan kongsi penjagaan kesihatan, termasuk Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Institut Jantung Negara dan KPJ Healthcare.
Saringan kesihatan itu melibatkan analisis komposisi badan, ujian kolesterol dan glukosa, saringan HPV, kesedaran kanser dan rundingan kesihatan mental.
Antara usaha lain LIAM dalam menyantuni masyarakat termasuk Dana Pakej Insurans Permulaan i-MULA 50 bernilai RM5 juta, yang menyediakan subsidi insurans RM50 kepada 100,000 pemegang polisi kali pertama. Setakat ini lebih RM3.3 juta telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 66,000 rakyat Malaysia.
Persatuan itu juga terus komited terhadap kesihatan wanita melalui progam vaksinasi dan saringan HPV “Leaving No One Behind”, dengan lebih 100,000 suntikan HPV dan 10,000 saringan serviks kepada golongan wanita kurang bernasib baik di seluruh negara.
Selain itu, RM100,000 telah disalurkan kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah kempen #GoldenMoments LIAM, iaitu bantuan terhadap kumpulan terpinggir dan inisiatif kelestarian.
“Kami kekal komited dalam aspek perlindungan sosial negara dan menyambut baik sokongan kerajaan terhadap inisiatif seperti Program Baucar Perlindungan Tenang yang memberi manfaat kepada hingga dua juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah,” kata LIAM.
Senarai penuh lokasi kempen derma darah boleh dilayari di laman sesawang www.liam.org.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial