Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

BRICS Tawar Peluang Pasaran Baharu Kepada Perniagaan Malaysia - PM Anwar

06/07/2025 10:13 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 5 Julai (Bernama) -- Syarikat Malaysia perlu bersedia untuk meneroka pasaran baharu dan mencari peluang dagangan di luar negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam membuat gesaan ini beliau berkata, mereka tidak boleh hanya bergantung kepada pasaran tradisional semata-mata, sebaliknya perlu meneroka ke pasaran baharu. 

Menurut Anwar, platform seperti BRICS menawarkan peluang yang amat besar, dan memuji syarikat Malaysia seperti Petronas dan Yinson Production atas kejayaan usaha niaga mereka di Brazil.

Perdana Menteri berada di sini atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang berlangsung dari 6-7 Julai.

Malah, Anwar berkata Presiden Brazil sendiri terkejut melihat syarikat Malaysia menjalankan perniagaan di negaranya. 

"Saya menyebut tentang Yinson dan Petronas kepada beliau, dan peranan mereka di Brazil. Beliau terkejut dan menanyakan lebih lanjut tentang hal itu," kata Anwar pada majlis makan malam yang dihoskan oleh Yinson Production, di sini.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Pengerusi Eksekutif Yinson Holdings Bhd Lim Han Weng.

Yinson, pemilik dan pengendali kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), mempunyai tiga projek di Brazil sejak 2023, iaitu FPSO Anna Nery, FPSO Maria Quiteria dan FPSO Atlanta.

Manakala Petronas terlibat dalam aktiviti pengeluaran minyak di Brazil dan pada tahun lepas turut membuka stesen minyaknya di negara ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun Amerika Syarikat dan China terus menjadi pasaran dan sumber pelaburan terbesar bagi Malaysia, terdapat peluang lain melangkaui dari pasaran tersebut.

Perdana Menteri berkata beliau telah meminta Tengku Zafrul untuk membantu memudahkan syarikat Malaysia menjalankan perniagaan di Brazil.

Menurut beliau, Brazil bukan sahaja menunjukkan kekuatannya sebagai suara dunia ketiga, tetapi juga telah menjadi kuasa ekonomi yang penting.

Mengenai pertemuannya dengan Lula da Silva pagi ini, Anwar berkata mereka membincangkan pelbagai isu yang penting kepada kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Presiden Brazil telah menerima pelawaan beliau untuk melawat Malaysia semasa Sidang Kemuncak Asean pada Oktober depan.

"Beliau mahu membawa menteri utama dan kumpulan perniagaan ke Malaysia. Akan ada persidangan khas yang mana kami berdua akan bersama-sama berucap pada acara itu," kata beliau.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS dan selaku Pengerusi ASEAN 2025. Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Jan tahun ini.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil meningkat 14.6 peratus kepada RM20.35 bilion (US$4.38 bilion) pada 2024, daripada RM17.43 bilion pada 2023. Brazil adalah salah satu rakan dagang utama Malaysia di Amerika Latin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan