Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Nasi Berlauk Juedin Tawar Harga Rahmah, Bantu Golongan Kurang Berkemampuan

06/07/2025 05:28 PM

KUALA NERUS, 6 Julai (Bernama) -- Kenaikan harga barangan tidak menghalang pasangan suami isteri yang juga peniaga kedai makan menjual pelbagai juadah pada harga ‘rahmah’.

Berbekalkan niat membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan, Sabarudin Ramli, 42, dan isteri Ajuma' Arasikim Din, 41, nekad menjual nasi campur bersama lauk-pauk pada harga RM5 bagi satu hidangan di kedai makan mereka, Nasi Berlauk Juedin.

Sabaruddin berkata walaupun keuntungan yang diterima agak minimum, dia tetap berpuas hati kerana dapat membantu lebih ramai orang terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai.

"Saya mula berniaga pada 2014 dengan menu nasi bajet pada harga RM2.50 di gerai kecil di Kuala Nerus sebelum berpindah ke kedai yang kami beroperasi sekarang enam tahun lepas.

"Jualan berkonsepkan menu ‘rahmah’ ini saya baru perkenalkan tiga minggu lepas. Sebelum ini harga biasa sahaja...seperti kedai lain. Selepas mendengar banyak luahan daripada pelanggan tentang kenaikan kos sara hidup, saya dan isteri berbincang dan ambil keputusan menukar perniagaan kepada konsep ‘rahmah’ bagi menolong insan yang memerlukan," katanya ketika ditemui di kedai makan Nasi Berlauk Juedin, di Kampung Tok Jiring di sini hari ini.

Sabarudin berkata setiap hari dia dan isteri akan bangun seawal 4 pagi untuk memasak lebih 30 jenis lauk dengan dibantu empat pekerja.

Dia berkata antara menu paling laris ialah ikan patin masak tempoyak, ayam berempah, udang masak lemak cili api, ikan tiga rasa dan kerabu pegaga.

Bapa kepada tiga anak itu berkata sejak tiga minggu lepas kedainya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan yang datang dari sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

"Sejak tular di aplikasi TikTok, ramai pelanggan datang. Mereka datang seawal 10 pagi untuk makan dan ramai juga yang bungkus bawa pulang.

"Alhamdulillah semua pelanggan berpuas hati kerana walaupun harga ‘rahmah’, kualiti makanan tidak berkurang. Ramai yang terkejut kerana harga makanan laut seperti udang masak lemak hanya RM4 sepinggan," katanya.

Sabarudin berkata operasi perniagaannya bermula sekitar 10 pagi dan ditutup pada 5 petang bermula Ahad hingga Khamis.

"Tetapi sekarang ini lauk habis awal...sekitar 1.30 memang dah tidak ada lauk, terpaksa tutup awal. Dalam tempoh tiga minggu ini kita terima kira-kira 300 pelanggan sehari dan lauk pula terpaksa ditambah bagi mengelak pelanggan pulang tangan kosong," katanya yang turut menjual Teh O Ais dan air sirap pada harga RM0.50 segelas.

Sementara itu seorang pelanggan Muhammad Asyraf Haniff Zaki, 35, dari Manir di sini berkata dia tidak menyangka masih ada peniaga yang bermurah hati menjual nasi campur pada harga RM5.

Dia berkata inisiatif itu perlu dicontohi peniaga lain yang sering menjadikan kenaikan harga barangan sebagai alasan untuk mengambil kesempatan terhadap pelanggan.

"Hari ini saya datang dengan isteri. Kami ambil ayam percik dua ketul, daging goreng, ikan patin tempoyak dan ulam-ulaman. Kami juga bungkus dua ketul ayam gulai dan udang untuk anak-anak balik sekolah nanti, baru RM30. Biasa kalau beli lauk sebanyak ini tak kurang daripada RM50, jadi memang sangat berbaloi kerana harga murah dan sedap," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan