Wanita Maut Dengan Kesan Kecederaan Parah Di Tamparuli, Sabah

06/07/2025 11:16 PM

TUARAN, 6 Julai (Bernama) -- Seorang  wanita ditemukan maut dengan kesan kecederaan parah di belakang rumah keluarganya di Kampung Tenghilan, Tamparuli, dipercayai dibunuh abang kandungnya yang mengalami masalah mental, Jumaat lalu.

Dalam kejadian pagi itu, mangsa berusia 41 tahun ditemukan berlumuran darah dengan kesan tetakan di leher, kepala dan kedua-dua mata, dipercayai akibat serangan menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Tuaran Supt Noraidin Ag Maidin berkata suspek berusia 47 tahun ditahan di lokasi kejadian pada hari sama.

"Suspek warga tempatan dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menjalani rawatan susulan di fasiliti kesihatan. Namun, motif kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan diminta menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794 313 atau balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan