Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar, Chinh Mengadakan Pertemuan Di Sidang Kemuncak BRICS

07/07/2025 01:08 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 6 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Vietnam Pham Minh Chinh mengadakan pertemuan di sini hari ini. 

Kedua-dua pemimpin berada di bandar kedua terbesar Brazil di sini bagi Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang berlangsung dua hari.

Pertemuan mereka sebelum ini adalah pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei lepas.

Anwar diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani.

Malaysia kini merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Vietnam dalam ASEAN dan kesembilan terbesar di dunia.

Perdagangan dua hala kedua-dua negara terus meningkat mencecah RM59.5 bilion (US$14.2 bilion) pada 2024 dengan sasaran RM76 bilion (US$18 bilion) tahun ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata pertemuan tersebut memberi ruang untuk kedua-dua pemimpin menilai tahap kemajuan kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Vietnam merangkumi perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, maritim, perikanan serta tenaga hijau dan petroleum.

"Saya turut membangkitkan keperluan memperkukuh kerjasama dalam menangani isu aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah.

"Saya juga menzahirkan harapan agar pendekatan yang lebih konstruktif dapat dirintis demi memastikan kelestarian sumber laut serta memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan. 

Selain itu, Anwar berkata Malaysia juga menyokong penuh potensi pelaburan dalam tenaga boleh baharu di selatan Vietnam termasuk inisiatif kabel dasar laut yang mampu memperkukuh jaringan tenaga dua hala.

Katanya ia seiring dengan aspirasi pembentukan Grid Kuasa ASEAN, sebuah infrastruktur untuk menjamin keselamatan tenaga dan pertumbuhan mampan.

"Saya menantikan pertemuan susulan bersama beliau di Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan Oktober nanti dalam usaha memperkukuh lagi hubungan strategik dan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Vietnam," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan