Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

DUN Selangor: Individu Culas Bayar Nafkah Bakal Berdepan Sitaan Harta, Tahan Pendapatan - Exco

07/07/2025 01:28 PM

SHAH ALAM, 7 Julai (Bernama) -- Sitaan aset merupakan antara mekanisme yang sedang dirangka kerajaan negeri terhadap suami yang culas dan ingkar dalam mematuhi perintah pemberian nafkah di Selangor.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata cadangan lain turut melibatkan perintah tahan pendapatan, hiwalah (garnishment order), atau penjualan harta pihak yang ingkar nafkah. 

"Pemilihan mekanisme tepat dan efisien oleh pihak yang menuntut nafkah khususnya bekas isteri atau penjaga anak adalah antara faktor penting dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan perintah nafkah. 

"Kegagalan memilih saluran atau mekanisme sesuai boleh menyebabkan kelewatan, kekeliruan dan akhirnya menjejaskan hak penerima nafkah," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) yang ingin tahu apakah usaha untuk menambah baik undang-undang di negeri supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap kes culas membayar nafkah. 

Mohammad Fahmi berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) juga sedang merangka peluang kerjasama strategik bersama agensi lain seperti  Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan institusi kewangan bagi membantu proses pengesanan dan penyitaan aset pihak yang ingkar perintah nafkah.

"Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama-sama JAKESS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ahli akademik dan pakar perundangan syariah sedang meneliti dan mencadangkan pindaan terhadap Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi memperkemas peruntukan berkaitan penguatkuasaan perintah nafkah," katanya. 

Beliau pada persidangan sama turut memaklumkan sebanyak 1,189 aduan pelanggaran nafkah diterima oleh Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor sejak tahun 2022  hingga 31 Mei 2025.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan