Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MAIS Komited Pastikan Pentadbiran Islam Di Selangor Berpacu Ahli Sunnah Wal Jamaah

07/07/2025 09:35 PM

SHAH ALAM, 7 Julai (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) komited memastikan pentadbiran Islam di Selangor terus berpacukan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta bebas daripada pengaruh ajaran sesat, kata Pengerusinya Datuk Salehuddin Saidin.

Beliau berkata untuk itu, MAIS bersama-sama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Selangor dan agensi lain akan memperhebat aktiviti pencerahan serta penerapan kefahaman berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada seluruh masyarakat negeri ini.

“Ia termasuk melalui program pengajaran agama Islam melalui pemegang tauliah mengajar agama dan juga aktiviti pengimarahan di masjid serta surau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salehuddin berkata tindakan bagi memperkukuh kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu adalah selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Negeri yang menekankan kepentingan menjaga kemurnian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan umat Islam di negeri ini serta keperluan untuk memperjelaskan kedudukannya dalam perundangan.  

“Kefahaman dan penghayatan yang mantap terhadap akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini diharap akan menjadi asas utama kepada pengukuhan perpaduan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah dan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 berkaitan MAIS dan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Pindaan RUU ini antaranya bertujuan menjelaskan kriteria pelantikan anggota MAIS selain anggota ex-officio, anggota Jawatankuasa Fatwa, anggota Jawatankuasa Tauliah dan anggota Jawatankuasa Rayuan Tauliah hendaklah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Pindaan itu juga dapat mencegah pelantikan individu yang berpandangan ekstrem, liberal atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor.

Terdahulu, DUN Selangor sebulat suara meluluskan RUU yang melibatkan pindaan kepada 10 fasal itu selepas dibentangkan oleh Mohammad Fahmi untuk bacaan kali ketiga dan dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan