JOHOR BAHRU, 2 Sept (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Forum Intelektual Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di universiti berkenaan di sini hari ini.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan Raja Permaisuri Agong yang juga Canselor UTM disambut Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor iaitu Pro-Canselor UTM.
Forum bertajuk ‘Teknologi Berjiwa, Tamadun Bermaruah: Inspirasi Kearifan Islam dalam Era Inovasi Digital’ itu memberi fokus khusus kepada peranan generasi belia sebagai pewaris masa depan negara agar mereka bukan sahaja celik digital tetapi juga celik nilai.
“Teknologi dilihat bukan sekadar alat hiburan, sebaliknya medium melahirkan penyelesaian lestari, memperkukuh jati diri dan membangunkan tamadun berintegriti,” menurut hantaran itu.
Pada forum berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Protokol Johor hasil karya Datuk Dr Abdul Rahim Ramli sebagai panduan protokol majlis rasmi di negeri Johor.
Raja Permaisuri Agong juga berkenan menyaksikan penyerahan surat pelantikan Profesor Adjung Akademi Tamadun Islam UTM kepada Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Felo Utama (Pengarah) Unit Pengurusan Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh.
Menurut hantaran itu, surat pelantikan diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTM Prof Dr Intan Zaurah Mat Darus.
Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka Baginda berkenan melihat pameran teknologi hasil ciptaan warga UTM seperti hologram, visual realiti dan e-Braille al-Quran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial