SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Pembinaan dan pembaikan rumah yang terkesan akibat insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya telah bermula dan mendahului jadual asal, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata perkembangan positif itu menyaksikan usaha pembaikan dan pembinaan semula itu kini sudah 22 hingga 24 peratus dilaksanakan membabitkan rumah di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baharu.
"Setakat ini, berdasarkan ujian Unit Perancang Ekonomi (UPE) bagi Taman Putra Harmoni, sebanyak tiga unit yang akan dibina semula manakala 46 unit akan dibaiki dan baki 46 unit sedang dalam proses akhir ujian titik retak dan struktur.
"Bagi Kampung Kuala Sungai Baru pula, sebanyak 17 unit yang terlibat, dan daripada jumlah itu, 11 unit akan dibina semula dan enam unit akan dibaik pulih," katanya pada sesi penerangan insiden Putra Heights di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Berkenan tuntutan untuk tujuan baik pulih rumah, Amirudin berkata bagi Taman Putra Harmoni, sebanyak RM458,440.50 telah difailkan manakala sejumlah RM884,934 difailkan penduduk Kampung Kuala Sungai Baru setakat ini.
Beliau berkata kesemua penduduk diberikan ruang hingga 27 Okt ini untuk menyampaikan dokumen tuntutan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sebagai pemudah cara proses berkenaan.
"Selepas penilaian dilaksanakan, kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya kos siling baik pulih rumah ditingkatkan daripada RM30,000 kepada RM60,000 dengan mengambil kira kos jubin bumbung dan penukaran kelengkapan seperti tangki air," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial