Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPDN Perangi Penyelewengan Gas LPG Subsidi Secara Agresif - Armizan

08/07/2025 03:39 PM

KOTA BHARU, 8 Julai (Bernama) -- Kegiatan penyelewengan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di negara ini perlu ditangani segera kerana ada segelintir peniaga membelinya dengan kuantiti yang banyak untuk kegunaan sendiri, tetapi turut mengaut keuntungan dengan menjual harga lebih murah kepada pihak industri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata berdasarkan tangkapan dilakukan pihaknya menerusi Op Gasak, kebanyakan gas yang diperoleh ialah gas decanting (pemindahan gas tong subsidi ke tong industri) dan penyelewengan ini bukan membabitkan negeri tertentu sahaja.

"Decanting ini satu perkara yang dilihat perlu kita kekang sebab pertama sumbernya daripada tong gas subsidi dan kedua, berdasarkan aduan kita peroleh ada syarikat tertentu menjual tong gas industri ini lebih murah sehingga menyebabkan jualan peniaga terlibat tidak laku dan merosot kerana ada alternatif lain yang dijual pada harga sedikit rendah daripada harga sebenar.

"Sebagai contoh, mereka (peniaga) membeli dengan jumlah yang banyak memandangkan tiada had yang dikenakan sebelum gas berkenaan disalurkan kepada tong gas industri demi mengaut keuntungan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi libat urus Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 bersama Persatuan Peniaga Makanan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata pihaknya akan mengekang masalah itu supaya ia dapat dikawal dengan sebaiknya dan tidak akan lepas tangan menerusi mekanisme kawalan yang dikenal pasti melalui sesi libat urus dengan semua pihak berkaitan. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan