Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bermula Secara Kecil-kecilan, Caffeinatics Kini Jadi Pilihan

08/07/2025 04:02 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 7 Julai (Bernama) -- Bermula secara kecil-kecilan, jenama kopi tempatan Caffeinatics yang diusahakan oleh sepasang suami isteri kini semakin dikenali dan mendapat tempat dalam kalangan pencinta kopi di Negeri Sembilan dan Selangor.

Pengusahanya Mohammad Amin Hashim, 39, berkata idea memulakan perniagaan itu hasil cadangan isterinya Nurul Ain Kamarulzaman, 36, yang mahu resipi kopi hasil air tangannya dikomersialkan kepada vendor tempatan.

Bermula dengan modal sebanyak RM10,000 dan tambahan bantuan RM3,000 daripada Tabung Usahawan Negeri Sembilan, pasangan suami isteri itu kini mengusahakan Caffeinatics sepenuh masa sejak 2023, selepas dua tahun menjalankan operasi secara sambilan.

“Pada awalnya, kami hanya buat secara kecil-kecilan dari rumah dan menghantar ke beberapa kedai vendor sekitar Senawang. Alhamdulillah, sambutan amat memberangsangkan sehingga kami tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Mengutamakan kualiti dan ketelitian, Mohammad Amin berkata kesemua proses penyediaan dijalankan sendiri secara manual bagi memastikan hasil yang konsisten dan berkualiti premium.

Caffeinatics kini menawarkan lebih 27 variasi minuman yang boleh didapati di beberapa lokasi vendor sekitar Senawang, Bandar Seri Jempol, Kajang dan Bangi pada harga antara RM8 hingga RM14 sebotol mengikut jenis minuman.

Antara minuman paling laris termasuk Latte, Karamel, Americano, Mocha, Mojito, Coklat dan Matcha.

“Setiap hari kami hasilkan sekitar 120 botol, pernah juga mencecah hingga 500 botol bergantung kepada tempahan,” katanya yang turut memiliki Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang Barista.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut menyuarakan hasrat untuk berkongsi ilmu yang dimiliki kepada golongan muda yang berminat dalam bidang keusahawanan kopi.

“Matlamat kami bukan sekadar untuk memperbaiki taraf hidup sendiri, tetapi turut ingin membantu komuniti setempat menjana pendapatan melalui peluang niaga bersama kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan