Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Salah Guna Dadah "Pintu" Utama Lakukan Kes Jenayah Serius - Saifuddin

08/07/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Analisis menggunakan kecerdasan buatan (AI) terhadap 1.2 juta data kes jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penyalahgunaan dadah menjadi "pintu" utama berlakunya lebih banyak kes jenayah serius di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kebanyakan kes jenayah serius yang dilakukan penjenayah turut melibatkan tiga kesalahan utama dalam Akta Dadah Berbahaya, iaitu penagihan dadah di bawah Seksyen (15) (1), Seksyen 12 (2) kerana memiliki dadah secara kecil-kecilan dan Seksyen 39 (c), kesalahan berulang berkaitan dadah.

“Data menunjukkan corak jenayah di negara ini, kalau kita ambil data berjumlah 1.2 juta, kita dapati tiga teratas ialah berkait dengan dadah. Apabila kita perincikan lagi kita dapati jika seseorang itu terjebak dengan kesalahan Seksyen 15 (1), dia berpotensi melakukan 31 jenayah manakala Seksyen 12 (2), dia mungkin terlibat dalam 11 jenayah lain seperti merompak, ugut dan bermacam-macam lagi.

“Kesimpulannya, jika ingin atasi jenayah di Malaysia, selesaikan (isu) pokok dan ibu kepada segala jenayah, iaitu penglibatan pelaku dalam jenayah dadah,” katanya kepada pemberita selepas sesi bicara Intan Minister’s Conversation (IMC) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan dapatan analisis AI itu, pelbagai dasar dan strategi membanteras jenayah berkaitan dadah yang lebih mantap boleh dirangka kerana ia dilaksanakan berdasarkan data sedia ada yang dimiliki PDRM. 

Beliau berkata sekiranya isu berkaitan dadah dapat ditangani, langkah itu sekali gus dapat menyelesaikan isu kesesakan di dalam penjara yang meruncing ketika ini dengan majoriti banduan adalah yang terlibat dalam jenayah dadah.

"Penggunaan AI dalam analisis data jenayah PDRM merupakan sebahagian inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memanfaatkan teknologi berkenaan bagi menyelesaikan masalah sistem penyampaian kepada rakyat," katanya.

Langkah ini, menurut beliau dilakukan kerana KDN dan agensi di bawahnya seperti PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai kekayaan data yang boleh diteliti untuk penambahbaikan sistem sedia ada.

“KDN sudah menghantar pegawai-pegawai untuk menjalani kursus AI di universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta di MIMOS Berhad untuk tujuan pendedahan dan kuasai instrumen AI seperti ChatGPT, Deepseek, Gemini dan lain-lain," katanya.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan