KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa hari ini melancarkan Geran Kreatif KL dan Geran Komuniti Merdeka 118 di bawah inisiatif Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL) bagi menyokong projek kreatif dan budaya di bandar raya ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Dr Zaliha berkata geran berkenaan merupakan satu bentuk pelaburan dasar yang menyatukan nilai budaya, daya cipta rakyat dan potensi ekonomi secara serentak.
“Ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang untuk menyumbang kepada pembentukan identiti Kuala Lumpur yang lebih inklusif dan berjiwa.
“Melalui inisiatif ini, kita membuka ruang kepada setiap lapisan rakyat untuk turut sama mencorak wajah dan jiwa Kuala Lumpur. Inilah kekuatan sebenar sesebuah kota, iaitu apabila warganya sendiri menjadi pencetus perubahan,” katanya.
Dr Zaliha berkata pembangunan fizikal tanpa budaya akan menjadikan bandar raya Kuala Lumpur gersang dan tandus kepada rakyatnya.
“Ini seperti yang pernah digambarkan oleh Mark Twain (penulis ulung Amerika Syarikat ketika mengunjungi kota Washington DC), sebagaimana sering dipetik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim - ‘bangunan yang mengagumkan dan moden, tetapi gersang dari segi budaya’,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial